Jumaat, 23 Februari 2018

Najib percaya Dr M tak akan serah PM pada Anwar



najib
Gambar Reuters

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak percaya calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan itu kepada pilihan asal parti pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri mengingatkan Dr Mahathir pernah berkata beliau tidak akan membenarkan seseorang yang “bermasalah moral” menjadi perdana menteri.

Beliau berkongsi pemerhatiannya di blognya hari ini, mengulas tentang kekuatan kepimpinan tertinggi negara sekiranya gandingan Dr Mahathir dan timbalannya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memerintah.

“Tun Mahathir dikatakan hanya sementara sahaja, kerana jawatan tersebut akan diserahkan kepada Anwar setelah beliau dibebaskan,” kata Najib, merujuk kepada pemenjaraan 5 tahun bekas ketua pembangkang itu atas kesalahan liwat.

“Tun Mahathir tidak akan melepaskan jawatannya kepada Anwar kerana umum mengerti Tun menganggap semua pemimpin lain tak betul.

“Memetik kata-kata Tun pada tahun 2016, tidak mungkin beliau akan membenarkan seorang yang bermasalah moral menjadi perdana menteri.”

Anwar dijangka dibebaskan 8 Jun ini, dan perlu menunggu sehingga selesai tempoh 5 tahun hilang kelayakan bertanding atau sehingga peruntukan berkaitan dimansuhkan untuk melayakkan beliau.

Najib meramalkan PKR akan memberontak sekiranya Dr Mahathir tidak mahu menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Kalaulah Tun Mahathir memilih untuk ‘u-turn’ dan melepaskan jawatan beliau kepada Anwar sekalipun, akibatnya jawatan perdana menteri dan timbalannya, akan disandang oleh sepasang suami isteri. Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka.

“Sudah tentu rakyat akan memberontak struktur kepimpinan seolah-olah mereka merajai Malaysia,” kata Najib.

Perdana menteri berkata 2 senario itu menunjukkan rakyat harus memberi mandat kepada Barisan Nasional bagi memastikan kelangsungan kerajaan yang stabil kerana BN mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh lagi mampan.

“Jika pembangkang menang pilihan raya kelak, mereka akan kekal sibuk merebut jawatan perdana menteri selama 2 ke 3 tahun sebelum mereka dapat memulakan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dr Mahathir, 93, sebelum ini dilaporkan berkata beliau hanya mampu bertahan untuk 2 tahun sahaja lagi memandangkan usianya yang lanjut.

Tiada ulasan: