Jumaat, 23 Februari 2018

Muzik video anjing: Namewee direman 4 hari

 
Permohonan perintah reman 4 hari sehingga Isnin depan itu dipercayai dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini. 


Namewee-says-video-is-just-for-entertainment-malaysia-1


PETALING JAYA: Penghibur kontroversi, Namewee direman 4 hari bagi membantu siasatan klip video terbarunya “Like a Dog” yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah dipetik China Press sebagai mengesahkan Namewee direman sehingga Isnin depan bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

Akhbar itu melaporkan wartawan yang menunggu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim sejak pagi tadi, tidak nampak bayang Namewee dan permohonan perintah reman itu dipercayai dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee ditahan ketika hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan, semalam. Penahanannya dimaklumkan melalui Facebook.

Minggu lalu, Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baru Cina bertajuk “Like A Dog” yang memaparkan sekumpulan individu bertopeng anjing, didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Namewee berhubung klip video itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat klip video kontroversi iktu.

Sabtu lalu, Namewee menerusi satu video penjelasan yang dimuat naik ke Youtube, mempertahankan video “Like a Dog” itu hanya hiburan dan tidak berniat menghina mana-mana agama atau bangsa.

Beliau berkata, penggambaran video itu dibuat di kawasan lapang yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya, bukannya di depan masjid seperti dakwaan sesetengah pihak.

Tiada ulasan: