Khamis, 22 Februari 2018

Lagi pelakon ditahan polis

Mohammad Arif Nizam


KUALA LUMPUR – Seorang pelakon komedi berusia 26 tahun berasal dari Perak ditahan selepas polis menemui ganja seberat 7.50 gram di kediamannya di Taman Melati, Gombak, semalam.

Turut ditemui bersama-samanya peralatan untuk menghisap barang terlarang seperti alat untuk mengisar dalam serbuan dijalankan pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, individu terbabit ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju susulan maklumat yang diterima.

“Sepasukan lima anggota pergi ke sebuah rumah di Taman Melati susulan maklumat yang diterima dan terdapat seorang lelaki di dalamnya.

“Lelaki itu kemudian mengambil sendiri satu beg kain berzip berwarna ungu dari bawah meja di ruang tamu mengandungi satu botol plastik lutsinar berisi ranting.

“Ia termasuk leraian daun kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 7.50 gram,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Menurut Mohamad Roy, dalam beg berkenaan terdapat satu alat pengisar disyaki digunakan untuk mengisar ganja.

“Turut dirampas satu botol plastik yang diubah suai disyaki peralatan menghisap dadah jenis ganja,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit mengaku memperoleh bekalan daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Sapek di Shah Alam, Selangor.

Pemuda berkenaan juga mengaku sudah menyalahgunakan dadah sejak enam bulan lalu.

“Keputusan saringan ujian air kencing belum diperolehi dan lelaki itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: