Ahad, 25 Februari 2018

Jika BN dapat, 13 ADUN PAS terlebih layak peroleh dana wakil rakyat

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jika ADUN Barisan Nasional (BN) di Selangor diberi peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri Selangor brmakna ADUN PAS terlebih layak untuk mendapatkan dana itu.
 
Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas diminta mengulas perihal 13 ADUN parti itu yang sehingga kini belum menerima peruntukan daripada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.
 
“Kalau MB sanggup bagi  pada BN (peruntukan). Sepatutnya PAS (dapat) (kerana) sebahagian daripada Exco di Selangor, sebahagian pentadbiran kerajaan negeri sepatutnya diberi peruntukan,” ujarnya kepada Antarapos.  
 
Berbaki lagi tiga hari sebelum Februari melabuhkan tirai, Azmin masih belum membuat penjelasan mengapa peruntukan wakil rakyat itu masih belum diagihkan kepada 13 ADUN PAS di negeri itu.
 
Tindakan kerajaan negeri itu meletakkan ADUN PAS dalam keadaan sukar apabila terpaksa menggunakan wang sendiri terlebih untuk menjayakan projek-projek rakyat.
 
Malah ada yang terpaksa menghentikan sementara projek tersebut kerana kekangan kewangan.
 
Beberapa ADUN PAS sebelum ini berkata kebiasaannya peruntukan itu diterima atau boleh dikeluarkan selewat-lewatnya pada penghujung Januari.
 
Sehubungan itu, ADUN Sijangkang yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyifatkan perkembangan ini sebagai sesuatu yang 'luar biasa'.
 
Azmin sebelum ini memberitahu kelewatan peruntukan kepada ADUN PAS adalah bersifat teknikal, namun tidak pula menjelaskan mengapa wakil rakyat PKR, DAP dan Amanah tidak berdepan dengan masalah itu.
 
Menteri besar itu maklum bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi ingin berjumpa dengannya umtuk bertanyakan isu tersebut, namun sehingga kini Azmin berdolak-dalih.
 
Terbaru, Azmin dilaporkan sakit tulang belakang dan perlu melakukan fisioterapi untuk satu tempoh tertentu yang sekali gus membayangkan isu peruntukan ADUN PAS ini akan terus berpanjangan.
 
Tuan Ibrahim yang kesal dengan sikap Azmin itu berharap isu bersabit dana itu dapat diselesaikan segera.
 
"Saya difahamkan sampai sekarang pun tak dapat lagi dan kita harapkan kerajaan negeri boleh luluskan sebab ini hak bagi wakil rakyat. 
 
"Jadi sepatutnya tidak timbul ada diskriminasi antara wakil-wakil rakyat yang ada ni,” katanya.
 
Tuan Ibrahim berkata sehingga kini isu dana itu belum dibawa ke peringkat PAS Pusat.
 
Malah beliau juga tidak mempunyai maklumat berhubung PAS Selangor mahu mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyelesaikan kontroversi ini.
 
PAS Selangor sebelum ini memberi kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan kepada 13 wakil rakyatnya sehingga perayaan Tahun Baru Cina.
 
Malah mereka tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membawa isu peruntukan itu kepengetahuan istana Selangor, jika ia masih gagal diselesaikan.
 
 

Tiada ulasan: