Isnin, 26 Februari 2018

Jangan main politik, Sultan Johor beritahu datuk bandar



sltanjohor4_1445
Gambar Facebook


PETALING JAYA: Sultan Johor mengingatkan datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan jangan terlibat atau campur politik dan tumpu pada soal pentadbiran serta penguatkuasaan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu mereka menjalankan tanggungjawab dengan dedikasi bagi memastikan agenda pembangunan rakyat terus diutamakan.

“Sebagai penjawat awam anda semua mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama memajukan negeri Johor serta kawasan pentadbiran masing-masing di samping mengutamakan masalah rakyat.

“Tumpukan perhatian pada kawasan pentadbiran masing-masing termasuk soal keindahan, kebersihan, pemasangan papan tanda. Jika ada pelan pembangunan projek dikemukakan sila teliti secara terperinci.

“Pastikan pelan pembangunan itu menepati ciri-ciri yang diperlukan antaranya soal landskap, keselamatan, kualiti jalan raya, laluan pejalan kaki dan basikal. Ini semua membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” kata Sultan Ibrahim.

Sultan Johor berkata demikian di Facebook hari ini, selepas pertemuan 1 jam bersama datuk bandar dan YDP pihak berkuasa tempatan di Kelab Polo Diraja Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim mengarahkan mereka mengemukakan laporan kebersihan dan keindahan daerah, dan cadangan pembangunan dan kemajuan negeri untuk penelitian.

Tiada ulasan: