Jumaat, 23 Februari 2018

Indeks Persepsi Rasuah paling buruk di zaman Najib Razak


Roketkini.com

Kemerosotan kedudukan Malaysia pada tangga terburuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sepanjang 23 tahun diperkenalkan oleh Transparency International (TI) telah mengejutkan seluruh rakyat negara ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, keadaan ini meletakkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di kedudukan terburuk berbanding era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir.

“Kepimpinan sembilan tahun Najib telah menyebabkan negara menduduki kedudukan tercorot berbanding dua bekas Perdana Menteri, Pak Lah dan Tun Mahathir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula dari tahun 1995, kedudukan Malaysia katanya tidak berganjak malah menunjukkan prinsip integriti, ketelusan dan urus tadbir yang baik semakin keterbelakang berbanding beberapa negara seperti China dan Indonesia yang memperlihatkan penambahbaikan.

“Pada tahun pertama CPI ini diperkenalkan meliputi 41 negara, kedudukan Malaysia ketika itu berdad di tengah-tengah iaitu di tangga 23 dengan skor pada skala 5.28 berbanding 10 (paling bersih) dari kedudukan sifar (paling korup).

“Ketika itu, China dan Indonesia berada di kedudukan terbawah pada tangga 40 dan 41,” kata Kit Siang.

Jelasnya, jika Malaysia mencatat peningkatan skor sebanyak 0.1 mata setiap tahun selama 22 tahun lalu, negara pasti berada pada kedudukan skor 7.58 yang akan meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 16 daripada 180 negara.

“Malangnya, kedudukan CPI Malaysia semakin merosot di tangga 62 daripada 180 negara dengan skor yang rendah daripada pertengahan,” katanya lagi.

Justeru, tugas utama kerajaan Pakatan Harapan sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran daripada BN dalam pilihanraya akan datang katanya ialah menubuhkan Pelan Induk Integriti Nasional bersama masyarakat sivil.

Ini bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara dalam Asia yang berintegriti, membasmi rasuah dan mengamalkan urus tadbir yang baik. – Roketkini.com


Tiada ulasan: