Jumaat, 16 Februari 2018

Hadi ucap Selamat Tahun Baru Cina, seru rakyat bina negara sejahtera

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bersempena perayaan Tahun Baru Cina, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat negara ini membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur.  
 
"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada kaum Tionghua dan rakyat negara ini. 
 
"Marilah kita membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur," katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baru Cina hari ini.
 
Dalam pada itu Hadi berkata, Islam memandang kewujudan kepelbagaian kaum dan bangsa di Malaysia sebagai satu perkara positif berkonsepkan Masyarakat Madani. 
 
"Setiap bangsa mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat dan negara. 
 
"Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan asas yang kukuh berkaitan bangsa dan agama dengan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan penganut agama lain bebas mengamalkannya tanpa paksaan dalam Islam dan adil untuk semua," katanya lagi.
 
Menurut Hadi juga, Islam mengajar penganutnya supaya menunaikan amanah dan berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama. 
 
"Kedatangan Islam disambut oleh penduduk setempat kerana percaya hanya Islam adil untuk semua sehingga mereka sendiri tidak sanggup berada di bawah pemerintah yang zalim dari bangsa sendiri," katanya.
 
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, selama pemerintahan PAS di tiga buah negeri, parti itu berpegang dengan dasar Islam dan tidak pernah mengamalkan diksriminasi kaum.
 
"PAS yang berpegang dengan dasar Islam telah berjaya memerintah Kelantan (1959- 1979, 1990-kini), Terengganu (1959-1963, 1999-2004) dan Kedah (2008-2013) 
 
"...tanpa diskriminasi kaum, tidak dirobohkan rumah ibadat bukan Islam dan memberi bantuan secara adil kepada mereka sehingga berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat walaupun bukan Islam hanya minoriti," katanya lagi.  


Tiada ulasan: