Jumaat, 16 Februari 2018

GST lebih tinggi jika BN menang PRU14?

HARAKAHDAILY

SETIU: Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila daripada sekarang, dilihat sebagai pilihan raya bagi menentukan masa depan anak cucu kemudian hari.
 
Pengundi keturunan Cina, Teo Heng Sing, melahirkan kebimbangan, kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mungkin akan dinaikkan selepas PRU akan datang.
 
"Sekarang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), satu Malaysia dapat bukan Terengganu sahaja, sudah naik.
 
“Nanti GST pun boleh naik tau, boleh naik sampai 10 peratus tau. Tapi kita tak tau orang mahu pangkah siapa," ujar beliau yang dikenali sebagai ‘Ah Seng’.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program ziarah dan agihan limau Mandarin meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, PAS Dun Batu Rakit, di sini kelmarin.
 
Sehubungan itu, Exco Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Shafizi Ismail menyifatkan kebimbangan Ah Seng sebagai suatu perkara yang munasabah.
 
Menurutnya, penguatkuasaan GST 1 April 2015, adalah berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang mendapat mandzt pada PRU Ke-13 lalu.
 
“Apabila menang pada pilihan raya lepas dan mendapat mandat, Umno yang menjadi tunjang BN telah menekan kehidupan rakyat dengan melaksanakan GST.
 
“Tidak mustahil sekiranya mereka menang pada PRU kali ini, akan dinaikkan kadar GST disebabkan kos pengurusan kerajaan yang meningkat kerana penyelewengan dan kebocoran dalam perbelanjaan," jelas beliau, yang juga Ketua Pemuda PAS Batu Rakit. 
 
Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak Umno dan BN pada PRU akan datang.
 
Katanya, PAS telah mengemukakan janji untuk melaksanaka ‘Dokumen Hijau’ yang akan membebaskan rakyat daripada GST, sekiranya diberi mandat pada PRU depan.
 
“PAS akan hapuskan GST dan diganti degan Cukai Simpanan Syarikat dan Korporat. GST dikenakan kepada semua orang termasuk fakir dan miskin, ia bertentangan dengan syariat.
 
"Tapi ‘Cukai Korporat’ hanya dikenakan kepada orang-orang kaya,” jelasnya.
 
Oleh itu katanya, PAS memberi pilihan kepada rakyat sama zda mahu GST dikekalkan atau mahu GST dihapuskan.
 
Berhubung program ziarah sempena ‘Gong Xi Fa Cai’ itu, beliau berkata, ia adalah rutin tahunan PAS yang diadakan setiap tahun.
 
Katanya, ia membuktikan PAS sentiasa bersama masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
 
"Walaupun mereka (orang Cina) minoriti di sini, kita tetap meraikan mereka yang telah menjadi sebahagian dari rakyat Malaysia terutama pada ‘hari besar’ mereka," ujarnya.
 
Program agihan limau kepada masyarakat Cina sekitar Batu Rakit turut disertai oleh Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda dan Ketua Muslimat, Wan Ramlah Wan Abdul Rahman serta Ketua Lujnah Perpaduan Nasional, Adnan Omar. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: