Isnin, 19 Februari 2018

Garang dan tegas Najib hanya sandiwara politik



Garang dan tegas Najib hanya sandiwara politik



Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sikap garang dan tegas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dalam isu penentangan terhadap Israel hanyalah sandiwara politik.

Beliau berkata demikian mengulas penjelasan kerajaan melalui Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berhubung isu kehadiran delegasi Israel ke negara ini minggu lalu.

“Rakyat dinyanyikan bahawa Putrajaya bernada keras terhadap Israel hingga mengadakan banyak himpunan, solidariti, solat hajat dan munajat, ceramah sebagai bukti betapa tegas dan kerasnya suara Malaysia.

“Tiba-tiba atas satu tekanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia ‘lembik lutut’ terhadap Israel.

“Mana suara lantang PM yang berdegar-degar mahu membela umat Islam Palestin? Kenapa di saat ini PM seperti ketakutan, tidak langsung bersuara menentang kehadiran mereka?” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata Mahfuz, mengapa tidak sekali ini pemimpin negara bersikap keras dan garang dengan tidak mengizinkan mereka hadir sebagai suatu tanda protes atas kekejaman yang Israel lakukan.

Jika inilah sikap kerajaan jelas beliau, jangan disalahkan negara umat Islam lain jika ada yang turut mengambil langkah seperti Malaysia membenarkan negara mereka dimasuki perwakilan Israel, membiarkan Israel membahas apa juga topik dan perbahasan sedangkan dalam masa yang sama mereka membunuh ribuan umat Islam di Palestin.

“Memberikan hak mereka berucap atau menghadiri sebarang forum adalah seperti mengiktiraf negara haram Israel.

“Pemimpin negara telah membuktikan bahawa mereka hanya bersikap retorik dan hipokrit hanya berani mengutuk dan mengecam dari kejauhan, tetapi apabila berada di depan mata, mereka diam seribu bahasa,” kata beliau.

Kata beliau lagi, jelaslah bahawa pemimpin Umno bukanlah pembela sebenar umat Islam.

“Umat Islam yang beria-ia memberikan harapan kepada Umno kononnya demi umat Islam di negara ini telah tertipu hidup-hidup dan terpedaya dengan sandiwara politik murahan Umno sedangkan Israel dekat di hati Najib Razak,” katanya.

Tiada ulasan: