Khamis, 22 Februari 2018

Fahmi Reza lancar crowdfunding bayar denda mahkamah

DETIK DAILY



PEREKA grafik Fahmi Reza hari ini akan melancarkan kempen menjana dana umum atau “crowdfunding” bagi menampung hukuman denda RM30,000 yang dijatuhkan mahkamah ke atasnya, kelmarin.

Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 ke atas aktivis itu kerana memuat naik karikatur satira berupa badut yang dikatakan menyamai wajah Perdana Menteri Najib Razak ke Facebook dua tahun lalu.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Fahmi diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara selama enam bulan.

Kempen menjana dana umum itu akan dibuat dengan menjual beberapa barangan berupa pelekat, buku tulis dan lencana karya grafik yang sama, yang menjadi asas pertuduhan kes yang disabitkan ke atasnya minggu ini.

Fahmi berkata seluruh hasil jualan barangan yang harganya belum ditetapkan itu akan digunakan bagi menampung hukuman denda tersebut.

"Korang semua tahu aku bukan ahli mana-mana parti politik pembangkang, takde cable dengan mana-mana politikus atau orang-orang besar, takde siapa yang back-up aku, takde siapa yang sponsor aku untuk hasilkan karya-karya grafik protes yang aku buat," tulisnya di Facebook.

Fahmi berkata beliau selama ini bergerak bersendirian menghasilkan karya grafik protesnya dengan sokongan rakyat.

Beliau gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kempen kutipan dana umumnya itu.

Pereka grafik itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 10 Jun, 2016 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Beliau didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara melalui Facebook pada 8 Februari, 2016 dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Selain kes di Ipoh, Fahmi juga berdepan satu lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati pada 31 Januari, 2016.

"Aku akan terus melawan hukuman ini, terus bersedia untuk dibicara untuk kes badut kedua di KL tahun ni, dan akan terus mempertahankan hak asasi aku untuk mengkritik penguasa yang korup dengan menggunakan seni sebagai senjata," tulisnya lagi di Facebook.

Pengamal undang-undang menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai "tidak masuk akal, tidak demokratik dan tidak boleh diterima" kerana cenderung menutup ruang kritikan ke atas pemerintah, sama seperti yang diamalkan di Thailand.

Tiada ulasan: