Rabu, 21 Februari 2018

Exco: Malaysia diketawakan kerana janji beg plastik percuma BN



plastic-bag-malaysia


GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengkritik Barisan Nasional (BN) Selangor yang berjanji membatalkan dasar larangan beg plastik dan menyebabkan Malaysia menjadi “bahan jenaka seluruh dunia”.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh terkejut akan ikrar BN Selangor, mengatakan pemberian beg plastik percuma sebahagian manifesto pilihan rayanya.

“Ini berlawanan dengan semua usaha mengurangkan penggunaan beg plastik di negara ini. Oleh itu janji pilihan raya BN Selangor menjejaskan masyarakat dan alam sekitar.

“Pemimpin BN harus menjelaskan sama ada mereka bersetuju dengan janji pilihan raya mengarut yang dibuat BN Selangor tentang membatalkan larangan beg plastik.

“Janji BN Selangor untuk memberi beg plastik percuma dan membatalkan caj 20 sen yang ditetapkan kerajaan ke atas beg plastik jika memenangi negeri itu pada pilihan raya umum nanti menjadikan Malaysia bahan jenaka dunia,” kata dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab Ketua Penerangan BN Selangor Datuk Sati Diman pada Ahad yang dilaporkan berkata caj 20 sen untuk beg plastik akan dibatalkan jika BN menawan Selangor.

Banyak pertubuhan dan parti politik tidak bersetuju dengannya dan berkata kemudahan untuk pembeli tidak seharusnya menjejaskan alam sekitar.

Phee berkata sejak 2002, negara atau bandar seluruh negara mula mengenakan caj, cukai atau larangan ke atas beg plastik di kaunter-kaunter bayaran.

Beliau juga berkata pada 2009, Pulau Pinang yang pertama melancarkan kempen menolak beg plastik percuma, yang menetapkan pengguna perlu membayar 20 sen untuk setiap beg plastik yang dibeli.

Kempen juga berniat mengalakkan orang ramai membawa beg boleh guna semula semasa membeli belah.

“Ramai marah pada mulanya kerana gagal melihat sebab di sebalik inisiatif itu. Caj 20 sen yang dikutip juga disalurkan kepada program Agenda Ekonomi Saksama yang memainkan peranan membasmi kemiskinan di Pulau Pinang,” katanya.

Phee berkata pada Disember 2017, 193 negara menandatangani ikrar menangani “krisis global” plastik di lautan, dan awal tahun ini, Taiwan mengumumkan rancangan melarang penggunaan penyedut minuman mulai 2019.

“Di United Kingdom, mereka sangat komited menghapuskan sisa plastik yang boleh dielakkan menjelang 2042 dengan pelancaran rancangan alam sekitar bagi 25 tahun akan datang.

“Malaysia, sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), harus lebih komited terhadap isu alam sekitar. Dasar yang dilaksanakan di sini hanyalah permulaan dalam mewujudkan kesedaran berkenaan pengurusan sisa buangan dengan betul dan mengurangkan sisa plastik, tetapi BN Selangor memberitahu seluruh dunia mereka tidak mampu lakukannya. Memalukan,” katanya.

Kerajaan Selangor mula mengenakan caj 20 sen ke atas beg plastik mulai 1 Januari 2017 dan jumlah kutipan mencecah RM1.87 juta setakat Julai tahun lalu.

Pulau Pinang pula memulakan dasar terhadap beg plastik pada 1 Julai 2009, dengan mengenakan caj ke atas beg plastik pada setiap Isnin. Ia turut melaksanakan larangan kekal ke atas penggunaan bekas makanan polisterina.

Kerajaan negeri kemudiannya memperluaskan larangan itu kepada 3 hari, iaitu Isnin hingga Rabu, mulai 2010. Larangan penuh ke atas beg plastik percuma dilaksanakan mulai 2011.


Tiada ulasan: