Rabu, 21 Februari 2018

Cukai perbandaran mungkin beri kesan kos pakej umrah: BUMITRA

ISMA WEB

Jemaah umrah tak terjejas dengan cukai baharu jika nilai ringgit naik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) tidak menolak kemungkinan pelaksanaan cukai perbandaran ke atas bilik hotel dan apartmen yang dikenakan kerajaan Arab Saudi minggu lalu, memberi kesan kepada kenaikan harga pakej umrah.

Timbalan Presiden BUMITRA, Harun KC Ahmmu berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan pelaksanaan cukai baharu yang berkuat kuasa sejak 14 Februari itu, menerusi surat pekeliling daripada pengendali umrah di Arab Saudi.

Meskipun sudah maklum berhubung pelaksanaan cukai itu, namun katanya, setakat ini BUMITRA masih belum mendapat penjelasan lanjut berkenaan kaedah pengiraan kadar cukai baharu yang dikenakan itu.

“Kita maklum bahawa cukai nilai tambah (VAT) sebanyak lima peratus adalah wajib, kemudian cukai perbandaran ini pula.

“Bagaimanapun, saya masih belum jelas mengenai perincian ke atas cukai perbandaran bagi bilik hotel dan apartmen. Saya akan semak semula dan memaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Rabu lalu, kerajaan Arab Saudi melaksanakan tarif cukai perbandaran bagi bilik hotel bertaraf lima bintang sebanyak lima peratus, sementara bilik hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah, ialah 2.5 peratus.

Menerusi cukai itu, seorang tetamu hotel atau apartmen kini perlu membayar antara 7.5 peratus hingga 10 peratus tambahan bagi tarif bilik mereka.

“Apabila cukai dilaksanakan, sudah pasti ia akan mengakibatkan kenaikan harga kepada pakej umrah. Itu tentu sekali. Bagaimanapun, pelaksanaan cukai sebegini akan dimanfaatkan kembali kepada pengguna.

“Namun, saya yakin ia akan menjejaskan sedikit harga pakej umrah berbanding sebelumnya,” kata Harun.

Mengulas lanjut beliau berkata, bakal jemaah umrah tidak akan terbeban dengan pelaksanaan cukai baharu itu memandangkan kadar ringgit semakin stabil.

“Segala-galanya bergantung kepada kekuatan ringgit kita. Jika ringgit stabil dan baik, rakyat tidak akan terasa dengan pelaksanaan VAT dan cukai perbandaran ini.

“Namun, jika ringgit kita lemah, pastinya kita dapat lihat kadar harga pakej umrah itu meningkat. Setakat ini, kita melihat kebanyakan syarikat dan agensi pengendali umrah boleh menerima VAT dan cukai perbandaran ini,” katanya.

Harun turut menasihatkan agensi pelancongan negara supaya berurusan dengan agensi pengendali umrah masing-masing di Arab Saudi, bagi mendapatkan maklumat jelas berkenaan kaedah pelaksanaan cukai perbandaran itu.


Tiada ulasan: