Selasa, 27 Februari 2018

Bapa 'durjana' fail rayuan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang bapa yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan kerana melakukan 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun, mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman penjara itu.
 
Rayuan lelaki berusia 37 tahun yang sebelum ini bekerja sebagai ejen unit amanah itu akan didengar pada 23 April ini di Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini.
 
Penolong Kanan Pendaftar Nur Ain Mustapa menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes tersebut di hadapannya, hari ini dengan dihadiri lelaki itu yang juga perayu, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin.
 
Aimi Syazwani memberitahu wakil media, mahkamah memerintahkan perayu melantik peguam untuk mewakilinya dan memintanya memohon bantuan pihak penjara bagi melantik peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
 
"Mahkamah memberitahu perayu sekiranya gagal melantik peguam pada tarikh perbicaraan rayuan, dia perlu mewakili kesnya sendiri," kata Aimi Syazwani sambil menambah lelaki itu menfailkan rayuannya pada Oktober tahun lepas, iaitu sebulan selepas dijatuhkan hukuman.
 
Kesnya mendapat perhatian ramai kerana ini pertama kali seorang tertuduh menghadapi pertuduhan jenayah seksual yang sangat banyak.
 
Pada 8 September 2017, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas 591 pertuduhan meliwat, 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal, satu pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa yang juga anak perempuan sulungnya.
 
Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun bagi kesalahan merogol, manakala untuk penganiayaan seks, bapa tiga anak itu dihukum penjara 20 tahun.
 
Dia juga dihukum penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan melakukan seksual fizikal dan ketiga-tiga hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 26 Julai lepas.
 
 

Tiada ulasan: