Jumaat, 16 Februari 2018

Azmin Kritik Hadi Justifikasi Pakatan PKR-DAP Selangor Rebut Kawasan PAS ?






Kritikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terbuka terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan parti Keadilan itu berminat merebut kerusi di kawasan PAS di Selangor yang cuba ditandingi Amanah pada PRU 14.

Sebelum ini, hanya PPBM Selangor yang lantang bersuara mendedahkan ketamakan PKR mahu merampas 12 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU 13, namun Amanah mendiamkan diri, walaupun tidak pernah ketinggalan menghadiri mesyuarat pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor.

12 kerusi DUN yang dimenangi UMNO pada PRU 13 itu adalah; N01 Sungai Air Tawar, N03 Sungai Panjang, N05 Hulu Bernam, N07 Batang Kali, N08 Sungai Burong, N09 Permatang, N10 Bukit Melawati, N12 Jeram, N13 Kuang, N24 Semenyih, N39 Kota Damansara dan N55 Dengkil.

PKR dikatakan berminat bertanding di 7 daripada 12 kerusi DUN berkenaan kerana parti Keadilan pernah meletakkan calon mereka pada PRU lalu, iaitu DUN Batang Kali (Ramachandran Kandasamy), Permatang (Mohd Yahya Mat Sahri), Bukit Melawati (Manikavasagam Sundram), Kuang (Tenku Maraziyah Tenku Sulaiman), Semenyih (Hamidi A. Hassan), Kota Damansara (Mohd Nasir Hashim) dan Dengkil (Borhan Aman Shah).

Amanah Selangor sepatutnya tidak menghadapi masalah bertanding di 15 kerusi DUN yang dimenangi PAS pada PRU 13 selaras dengan moto yang selalu diuar-uarkan parti itu iaitu Amanah ganti PAS.

15 kerusi DUN yang dimenangi PAS adalah N02 Sabak, N15 Taman Templer, N17 Gombak Setia, N18 Hulu Kelang, N20 Lembah Jaya, N21 Chempaka, N23 Dusun Tua, N26 Bangi, N29 Seri Serdang, N38 Paya Jaras, N42 Meru, N45 Selat Klang, N51 Sijangkang, N53 Morib dan N54 Tanjong Sepat.

Bagaimanapun hanya dua kerusi DUN yang diperuntukkan kepada Amanah setakat ini, iaitu N18 Hulu Kelang dan N53 Morib, itupun disebabkan dua penyadang kerusi berkenaan Saari Sungip dan Hasnul Baharuddin melompat parti dari PAS kepada Amanah.

PKR dan DAP dikatakan turut berminat bertanding di 8 daripada 13 kerusi yang dimenangi PAS tersebut.

8 kerusi itu adalah DUN Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.

Pada PRU lalu, DAP bertanding 15 kerusi DUN dan menang semuanya, iaitu DUN Sekinchan (Ng Suee Lim), Kuala Kubu Baharu (Lee Kee Hiong), Teratai (Tiew Way Keng), Balakong (Eddie Ng Tien Chee), Seri Kembangan (Ean Yong Hian Wah), Kinrara (Ng Sze Han), Subang Jaya (Hannah Yeoh Tseow Suan), Bukit Gasing (Rajiv Rishyakaran), Kampung Tunku (Lau Weng San), Damansara Utama (Yeo Bee Yin), Sungai Pinang (Teng Chang Khim), Pandamaran (Eric Tan Pok Shyong), Kota Alam Shah (Ganabatirau Veraman), Teluk Datuk (Loh Chee Heng) dan Sungai Pelek (Lai Nyuk Lan).

Berdasarkan kemelut perebutan kerusi di kalangan PH Selangor yang semakin meruncing itu, secara tiba-tiba Azmin mengeluarkan kenyataan mengecam Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di akhbar Cina Nanyang Siang Pau.

Azmin berkata Presiden Abdul Hadi tidak faham suasana politik Selangor yang berbeza dengan Kelantan atau Terengganu kerana negeri itu berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kami adalah masyarakat berbilang kaum, masyarakat berbilang bangsa dan sangat penting kerajaan negeri dan kepimpinan mesti dapat menyediakan dasar yang sangat kondusif kepada semua orang.

“Hadi tidak memahami perkara di atas dan tersilap memikirkan PAS kekal di Selangor berdasarkan sokongan pengundi Islam,”kata Azmin.

Azmin turut menegaskan tiada lagi rundingan sulit antara PKR dan PAS untuk menghadapi PRU 14 selepas ini.

Ramai pemerhati politik berpendapat kritikan Azmin terhadap Presiden PAS itu sebagai usaha untuk mengalih isu kemelut dalaman PH Selangor yang semakin kronik berkaitan dengan pembahagian kerusi.

Tiada ulasan: