Jumaat, 16 Februari 2018

Azmin: Dokumen tanah di Ijok sudah diserah pada SPRM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menyerahkan semua dokumen berkaitan isu tanah di mukim Ijok kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata dokumen berkenaan telah diserahkan beberapa bulan sebelum ini berikutan laporan yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada SPRM yang meminta siasatan dilakukan terhadap isu itu.
 
“Kerajaan negeri telah memberi kerjasama penuh dan tunggulah hasil siasatan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di di sini semalam.
 
Azmin mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan, semalam yang mendesak menteri besar itu memberi penjelasan berhubung apa yang disifatkan beliau tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.
 
Abdul Rahman berkata tindakan itu menjadi persoalan kerana keputusan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memihak kepada kerajaan negeri pada 2013 dan 2014 dalam kes mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat berkenaan. 
 
Beliau dilapor mempersoal justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri Selangor telah menang di mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan.
 
Malah mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga mempersoalkan kaedah penyelesaian oleh kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali berhubung isu tanah di Ijok, yang memulangkan semula tanah yang dirampas daripada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd kepada dua pemaju perumahan berkenaan. 
 
Khalid berkata, penyelesaian berkenaan bukan amalan terbaik kerana tidak mencerminkan tatacara perniagaan yang baik dalam mengendalikan aset rakyat negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: