Khamis, 15 Februari 2018

Asmidar Akan Rindu Senyum Ketawa, Usikan Ali Setan




MYNEWSHUB



SHAH ALAM – “Saya akan merindui senyumannya, ketawa dan usikan panggilan Asmidar,” kata heroin filem ‘Ali Setan’, Fauziah Ahmad Daud apabila hero filem itu, Mohd Azmil Mustapha Kamil meninggal dunia hari ini.

 

Fauziah ketika ditemui selepas upacara pengebumian jenazah pelakon era 80an itu berkata persahabatannya dengan Mohd Azmil amat rapat sehingga Allahyarham pernah diberi amanah oleh bapa beliau agar menjaganya sepanjang penggambaran di luar negara.

Malah, Mohd Azmil juga merupakan rakan artis pertama yang menghubunginya untuk membantu ketika mengetahui dirinya telah mula berhijrah untuk mendalami agama sekitar tahun 2000, kata Fauziah, lebih mesra dengan panggilan ‘Ogy’.

“Pada masa itu Allahyarham amat tekun mendengar cerita penghijrahan saya dan beliau banyak membantu sebab beliau berhijrah mendalami agama terlebih dahulu daripada saya.

“Allahyarham tidak sombong, mudah tersenyum dan sangat merendah diri walaupun beliau begitu popular dalam industri seni suatu masa dulu,” kata Ogy sambil menambah Mohd Azmil sering memanggilnya sebagai ‘Asmidar’ iaitu nama watak dalam filem Ali Setan yang dibintangi mereka sekitar tahun 80an.

Ogy berkata sikap Mohd Azmil sebagai bintang seni yang amat berbakat dan seorang sahabat yang setia pasti tiada pengganti dalam industri berkenaan malah harus dijadikan contoh oleh anak seni kini.

Sementara itu, seorang lagi pelakon filem ‘Ali Setan’, Datuk Seri Raja Shah Jurin Raja Ahmad Shah atau lebih popular dengan nama Datuk Seri Shah Rezza, menyatakan Mohd Azmil adalah sahabat lamanya yang membawanya masuk ke dunia seni sehingga dikenali banyak pihak.

“Kami kawan dah lama, sebelum saya mula berlakon lagi. Dia bawa saya berlakon filem Ali Setan, disebabkan filem itu, saya terus dikenali.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah selepas Aidilfitri tahun lepas. Masa itu beliau nampak sihat dan ceria seperti biasa walau tahu dia ada sakit. Masa dapat khabar hari ini, saya terkejut, telefon sana sini minta pengesahan, hinggalah seorang rakan artis memberitahu yang Mohd Azmil sah meninggal dunia,” katanya.

Menyifatkan Mohd Azmil sebagai anak seni yang ‘istimewa’ kerana keperibadiannya yang tidak sombong dan menghiburkan, Shah Rezza berkata kehilangan pelakon tersebut pastinya memberi kesan kepada dirinya dan juga masyarakat yang pernah mengenalinya.

Jenazah Mohd Azmil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira 6.30 petang.

Mohd Azmil, 65, meninggal dunia kerana sakit jantung di kediamannya di Seksyen 9, kira-kira pukul 12.40 tengah hari. – BERNAMA

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: