Jumaat, 23 Februari 2018

CASSA: Pasar raya untung RM120 juta setahun jual beg plastik

ANTARAPOS

Post Pic


SHAH ALAM: Pasar raya dan kedai runcit seluruh negara termasuk kerajaan PKR Selangor mampu mengaut keuntungan konservatif sebanyak RM120 juta setahun bagi caj 20 sen pada setiap beg plastik yang digunakan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, keuntungan itu meliputi semua pasar raya di seluruh negara terutama di Selangor yang dilihat mendapat keuntungan sehingga 70 peratus daripada caj yang dikenakan itu.

“Setiap pengguna akan membeli sekurang-kurangnya tiga beg plastik bernilai 60 sen, kita andaikan 600 hingga 700 pengguna membeli di kedai runcit dan pasar raya setiap hari dan jumlah anggaran keuntungan kasar yang diperoleh sebanyak RM10 juta sebulan.

“Saya difahamkan, kos setiap beg plastik adalah sebanyak 3 sen sahaja, namun seperti Kerajaan PKR Selangor, mereka menyuruh rakyat membayar pada kadar 20 sen.

"Jumlah itu menunjukkan perbezaan besar iaitu seba­nyak 17 sen. Ini bermakna, kedai runcit dan pasar raya mampu mendapat untung besar jika memperoleh 1,000 pengguna setiap hari,” katanya dipetik Utusan Online.

Selasa lalu beberapa persatuan pengguna mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan ke mana caj 20 sen tersebut disalurkan supaya pelaksanaan kempen beg plastik tersebut lebih telus.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar dalam kenyataannya berikrar menghapuskan caj 20 sen bagi setiap penggunaan plastik yang dikuatkuasakan Kerajaan PKR Selangor, jika BN berjaya kembali mentadbir Selangor.

Untuk rekod, Selangor mula mengenakan caj 20 sen bagi setiap ber plastik bermula pada 1 Januari 2017. 


Tiada ulasan: