Isnin, 19 Februari 2018

AMANAH tiada persepakatan dengan Pas, akan bertanding di tempat dipersetujui PH



AMANAH tiada persepakatan dengan Pas, akan bertanding di tempat dipersetujui PH



Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, AMANAH tiada apa-apa persepakatan dengan Pas.

Oleh itu katanya, AMANAH bertanding di mana-mana tempat yang dipersetujui secara bersama dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohamad, dalam sebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia adalah bebas untuk menubuhkan sebarang pertubuhan sama ada bersifat NGO mahupun parti politik.

“Begitu juga Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan oleh beberapa orang bekas pimpinan Pas dan telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

AMANAH adalah sebuah parti yang bergabung dalam PH bersama tiga lagi parti iaitu PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), katanya.

“Sudah tentu pembahagian kerusi pilihan raya dibincang dan dilaksanakan secara bersama dalam PH,” jelas beliau.

Kata beliau, kenapa apabila AMANAH mahu bertanding melawan Umno dan Pas maka dikatakan membawa perpecahan kepada Melayu?

“PKR dan Bersatu juga akan menentang Umno dan Pas, adakah mereka juga dianggap membawa perpecahan kepada Melayu?

“Kenapa pula apabila Pas mengisytiharkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang PKR, ia tidak dianggap sebagai membawa perpecahan kepada Melayu?” soal beliau.

Bagi saya, tambah beliau, kita bersama PH akan bertanding mengikut kesesuaian dan cita-cita untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kita mempunyai agenda besar untuk melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik demi negara dan rakyat.

“Maka kita bertekad akan menentang Umno-BN dan mana-mana pihak yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya akan datang ini,” katanya.

Tiada ulasan: