Selasa, 27 Februari 2018

AMANAH buat kajian, culaan letak calon di Marang bukan menujum



AMANAH buat kajian, culaan letak calon di Marang bukan menujum


AMANAH Negeri Terengganu menempelak Timbalan Pesuruhjaya Pas II TerengganuDr Alias Razak kerana menujum jangka hayat AMANAH dan memperlekehkan hasrat AMANAH meletakkan calon di kerusi Parlimen Marang.

Pengerusinya Miqdad Zakaria berkata, AMANAH sendiri telah membuat kajian dan culaan terhadap kemampuan parti itu untuk meletakkan calon melawan Presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam Pilihan Raya Umum (PRU)  ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“AMANAH dan Pakatan Harapan Marang sama sekali tidak pernah membuat keputusan terburu buru, untuk bertanding di Parlimen dan semua Dun di Marang.

“Ianya dibuat atas kajian dan culaan yang teliti dari semua pihak, dan kita yakin bahawa AMANAH dan PH Marang mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu Kerusi Parlimen dan empat Kerusi baru di Pusat dan Negeri,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya II Pas Terengganu Dr Alias Razak yang dipetik berkata masa depan AMANAH kian pudar selepas PRU14 dan parti itu bakal mengikut jejak parti serpihan sebelum ini seperti Semangat 46 yang telahpun ‘bersara’ dalam politik tanah air.



Justeru kata anak saudara kepada Abdul Hadi ini, AMANAH Marang sangat berterima kasih kepada Timbalan Pesuruh Jaya II Pas Negeri Terengganu itu kerana sudi menujum tarikh hayat Parti AMANAH Negara.

“Terima kasih sekali lagi. Seperti sebelum ini, amalan menujum hayat parti bukan beliau sahaja, bahkan termasuk Presiden Pas sendiri, yang mana seorang yang digelar sebagai Tuan Guru dan pernah dihebohkan bermimpi Nabi beberapa kali demi ingin menyatakan ketelusan matanya dalam menujum.

“Akan tetapi, akhirnya diketahui ramalan Presidennya sendiri meleset dan tidak benar.

“Jadi kalau Presiden pun boleh salah dalam meramal, takkan seorang Doktor seperti beliau lebih telus pandangan mata dari Presidennya sendiri,” sindirnya.

Miqdad yang juga Timbalan Pengerusi PH Marang berkata, ahli Pas di negeri itu tidak lebih daripada 8,000 pengundi. ini menunjukkan bahawa Presiden Pas sendiri ujarnya lagi, tahu nasibnya di Marang jika golongan atas pagar tidak mengundi beliau.

“Dan sejarah telah terbukti, beliau pernah tewas di gelanggang sendiri disebabkan undi atas pagar berpindah kepada calon BN.

“Atas sebab sebab inilah AMANAH Marang berani untuk bertanding, dan kami optimis dengan kemenangan.

“AMANAH Marang tidak bersendirian , kami masih ada kekuatan dari rakan Pakatan Harapan yang lain,” ujarnya.

Miqdad Zakaria

Beliau mendakwa penyokong PH di Marang lebih daripada 35,000 orang yang akan menjadi terasnya ialah undi atas pagar dan undi Cina.

“Oleh itu Pas jangan suka memperlekehkan lawannya. AMANAH Marang ingin mengingatkan Pas Terengganu dan juga Pas Marang agar istiqomah untuk mempamerkan sifat matang dan sejahtera yang pernah ditunjukkan kepada Umno-BN sekarang ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: