Isnin, 26 Februari 2018

Agihan kerusi PH Selangor belum selesai - Xavier

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu agihan kerusi DUN sesama parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan hari ini masih belum berjaya diselesaikan.
 
Perkara itu disahkan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi Antarapos sebentar tadi.
 
"Belum selesai, kita ada masa lagi untuk selesaikan," katanya ringkas.
 
Perkembangan itu mencetuskan persoalan adakah Majlis Presiden PH (MPPH) akan mengambil alih rundingan agihan kerusi di negeri berkenaan memandangkan badan tertinggi gabungan empat parti itu minggu lalu berkata akan campur tangan jika ia gagal diselesaikan sehingga Isnin (hari ini).
 
Sebelum ini, rundingan kerusi PH di Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, masih gagal dimuktamadkan, ekoran terdapat pertindihan tuntutan kerusi antara PPBM dan PKR berhubung 12 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
 
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa PH negeri itu akan mencapai kata sepakat bersabit soal agihan kerusi DUN tanpa perlu membawa perkara berkenaan ke peringkat Majlis Presiden.
 
Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada 31 Januari lepas, namun dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan gagal mendapat kata sepakat.
 
Mengulas lanjut Xavier menyatakan rasa hairannya mengapa pemberita begitu ingin tahu perkembangan agihan kerusi PH Selangor walhal rundingan seumpamanya di negeri lain belum juga disepakati.
 
"Kenapa media berminat sangat dengan kerusi di Selangor? BN juga masih belum selesai.
 
"Lepas selesai kita akan bagitahu dunia," katanya berseloroh.
 
Jumaat lalu, PH Pulau Pinang menyerahkan kepada MPPH untuk menyelesaikan tuntutan bertindan enam kerusi membabitkan PKR, Amanah dan PPBM.
 
Enam kerusi berkenaan adalah Bertam, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Sungai Acheh, Pulau Betong dan Telok Bahang.
 
DAP tidak terlibat kerana kepada parti itu, status quonya kekal.
 
PH akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok (Selasa), namun tidak dapat dipastikan adakah gagasan itu akan mengumumkan status terkini agihan kerusi sesama empat parti komponennya, atau tidak.
 
 

Tiada ulasan: