Isnin, 19 Februari 2018

ADUN PAS masih tunggu tarikh untuk jumpa MB Selangor

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN PAS Selangor masih menunggu tarikh untuk bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mendapatkan penjelasan berhubung peruntukan wakil rakyat yang masih belum diterima pihaknya.
 
ADUN Dusun Tua Razaly Hassan berkata demikian ketika ditanya perkembangan terbaru bersabit isu itu.
 
Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memberikan kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan berkenaan sehingga perayaan Tahun Baru Cina, sebelum pihaknya mengambil langkah susulan. 
 
"Bincang itu sudah dua tiga kali bincang, tetapi tarikh itu tidak dapat lagi. MB tak bagi lagi tarikh.
 
"Langkah susulan kita, tunggu MB punya (tetapkan) tarikh. Kalau dia kata tarikh nak jumpa dalam minggu ini, kita jumpa dalam minggu ini. 
 
"Setakat sekarang ini kita tunggu keputusan MB, pasal nak jumpa itu persetujuan daripada dia. Mungkin lepas Raya Cina kalau dia setuju, kita jumpa MB nanti. Tapi tak tahu bila tarikh dia," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Razaly bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya apakah reaksi PAS jika isu ini terus dilengah-lengahkan kerajaan negeri. 
 
Sebelum ini, Exco Selangor yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad mengesahkan hanya 13 ADUN PAS yang belum boleh menggunakan peruntukan wakil rakyat, berikutan disekat di Pejabat Daerah masing-masing.
 
Sekatan itu menyebabkan beberapa program ADUN PAS terpaksa dihentikan sementara, ataupun wakil rakyat berkenaan perlu menggunakan sumber kewangan peribadi untuk melaksanakan program yang direncanakan. 
 
Azmin dalam kenyataannya menafikan peruntukan ADUN PAS disekat, namun menjelaskan terdapat 'masalah teknikal'.
 
Malah Azmin berseloroh mustahil beliau menafikan hak ADUN PAS sedangkan kerajaan negeri tetap memberikan keistimewaan kepada wakil rakyat Umno-Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
 
Azmin juga berkata beliau sedar peruntukan itu adalah untuk rakyat Selangor.
 
 

Tiada ulasan: