Ahad, 28 Januari 2018

Syed Saddiq Tak Berani Confirm ‘PH Bakal Tawan Johor’ – DrKamarul


 

/Dr Kamarul Zaman Yusoff
 

Sombong dan takbur sekali nampaknya Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, waktu berucap dalam majlis Sidang Media Pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Negeri Perak di Ipoh pada 25 Januari 2018 yang saya dengar rakamannya sekejap tadi.

Kata Syed Saddiq, tanyalah mana-mana pimpinan tertinggi Pakatan Harapan sekalipun, mereka akan berkata bahawa Pakatan Harapan sudah confirmed menang di Perak dan Kedah dalam PRU 14, selain turut confirmed akan menang di Selangor dan Pulau Pinang.

Kata Syed Saddiq lagi, beliau yakin jika kejayaan datang di Perak maka kejayaan tersebut akan sampai ke seluruh Malaysia dan Pakatan Harapan akan berjaya menawan Putrajaya dalam PRU 14 kerana uniknya Perak ini ia berbilang bangsa dan berbilang agama.

Kesimpulan dari ucapan Syed Saddiq ini adalah, bagi beliau dan bagi mana-mana pimpinan tertinggi Pakatan Harapan lain, Pakatan Harapan sudah confirmed akan berjaya menawan Putrajaya kerana Pakatan Harapan sudah confirmed akan berjaya menawan Perak.

Sombong dan takbur Syed Saddiq ini seolah-olah mahu mendahului ketetapan Allah pula sedangkan di dalam al-Qur’an sendiri, contohnya di dalam Surah al-Nahl: 23, ada disebutkan betapa “sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur”.

Apalah gunanya kemenangan itu, wahai Syed Saddiq, jika ia adalah ibarat “menang sorak kampung tergadai”? Tidakkah anda, selaku Ketua Pemuda PPBM, tahu bahawa di dalam projeksi DAP Perak, PPBM hanya akan menang di tiga kerusi DUN sahaja di Perak?

Tidakkah anda tahu, wahai Syed Saddiq, bahawa, di dalam projeksi DAP Perak, yang akan berkuasa dalam Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak jika Pakatan Harapan menguasai Dewan Undangan Negeri Perak pada PRU 14 adalah bukan Melayu bukan Islam?

Tidakkah anda tahu, wahai Syed Saddiq, bahawa yang berkuasa di dalam Pakatan Harapan Negeri Perak adalah pemimpin DAP, bukannya pemimpin PPBM, atau AMANAH, walaupun Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak adalah Pengerusi PPBM Negeri Perak?

Dr Muhaimin Sulam, selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak dulu, mungkin boleh ceritakan betapa Pakatan Rakyat Negeri Perak dulu beroperasi dari Pejabat PAS Perak, di mana Setiausahanya juga adalah pemimpin PAS Perak, Dr Khairudin Abdul Malek.

Bandingkan pula keadaannya sekarang di mana Pakatan Harapan Negeri Perak kini beroperasi dari Pejabat DAP Perak dan di mana Setiausahanya juga adalah pemimpin DAP Perak yang turut merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, iaitu V Sivakumar.

Teringat pula saya kepada peribahasa “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”.

PETIKAN UCAPAN SYED SADDIQ

“Walaupun saya ini orang Johor ya, tapi saya takut sikit kat Johor, sebab kalau tengok, ni bukan cakap syok sendiri, kat Perak ni rasa macam dah confirmed boleh menang. Ini seriuslah, tanyalah mana-mana pimpinan tertinggi, dia ada beberapa negeri yang, dua negeri memang confirmed kita akan menang, Selangor dengan Penang, dan selepas itu orang kata apa lagi dua negeri, kalau kita kena rank lagi dua negeri tu orang kata Perak, Kedah, right after that. Dan memang Perak Kedah ni dah confirmed menang, sekarang ni statusnya pun kita dah menang.”

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: