Jumaat, 19 Januari 2018

STAM: Bilangan calon dapat Mumtaz naik 0.4 peratus

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jumlah calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 yang mendapat gred cemerlang atau Mumtaz meningkat 0.4 peratus kepada 600 berbanding 537 calon pada tahun sebelumnya.
 
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Zainal Aalam Hassan, berkata secara keseluruhan, tahun lalu sejumlah 4,733 calon layak mendapat sijil STAM iaitu peningkatan 2.7 peratus berbanding 4,286 calon pada tahun sebelumnya.
 
Katanya, Sijil STAM melayakkan calon untuk memohon bagi mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.
 
"Sijil STAM juga mendapat pengiktirafan setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
 
"Pengiktirafan ini membolehkan lulusan STAM lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Rakyat melalui satu sistem pendidikan yang standard dan diiktiraf di dalam serta luar negara," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Cemerlang STAM 2017 membabitkan 67 calon dan 20 sekolah di sini, hari ini.
 
Sijil STAM terbahagi kepada 4 gred iaitu Mumtaz (Cemerlang), Jayyid Jiddan (Sangat Baik), Jayyid (Baik) dan Maqbul (Lulus) di mana calon perlu sekurang-kurangnya mendapat gred Maqbul dalam 10 mata pelajaran untuk dianugerahkan sijil.
 
Tahun lalu, calon yang mendapat gred Jayyid Jiddan meningkat 1.7 peratus kepada 1,538 berbanding 1,337 pada 2016 manakala 2,104 mendapat gred Jayyid, merosot 0.3 peratus berbanding 2,004 calon pada 2016.
 
Mereka yang mendapat gred minimum Maqbul meningkat 2.9 peratus kepada 4,666 calon berbanding 65.78 peratus atau 4,205 calon pada 2016 manakala calon yang mendapat gred Rasib (gagal) dalam semua subjek susut 0.5 peratus membabitkan 99 calon tahun lalu berbanding dua peratus atau 130 calon pada 2016.
 
Tahun lalu, sejumlah 9,534 calon mendaftar untuk menduduki STAM berbanding 8,784 pada 2016 iaitu peningkatan 750 calon.
 
 

Tiada ulasan: