Sabtu, 20 Januari 2018

Senarai calon MB Kelantan dari Umno bertambah panjang

DETIK DAILY

 
 
PETALING JAYA: Sudah 5 pilihan raya umum berlalu sejak Umno hilang kuasa di Kelantan, namun pelbagai usaha termasuk menampilkan calon menteri besar masih belum berjaya menawan hati rakyat negeri itu.

Selain daripada Tan Sri Annuar Musa, orang lama yang ditugas merampas balik Kelantan sejak 1990an lagi, kini senarai calon MB sekiranya Umno menang di negeri itu semakin panjang.

Sekurang-kurangnya 6 nama kini sedang dipertimbangkan Umno, menurut Setiausaha Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat.

“Kita sudah ada calon-calon menteri besar tetapi kita tidak boleh umum lagi siapa,” katanya.
“Calon tersebut tidak semestinya ada pengalaman lama dalam parti, tetapi jika ia dipersetujui pucuk pimpinan kita akan pilih.”

Bagaimanapun, sumber berkata selain Annuar, 5 calon lain ialah Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Awang Adek Hussin.

Ditanya mengenai nama-nama itu, Hanafi enggan mengesahkannya.

Sebahagian mereka pernah diangkat menjadi calon MB sebelum ini, dalam usaha Umno selama 3 dekad menawan semula Kelantan.

Mereka termasuk Mustapa, Annuar dan Awang Adek sebagai menteri besar Kelantan.
Mustapa yang kini menteri perdagangan antarabangsa pernah dicalonkan MB pada pilihan raya 2004 dan 2013.

Awang Adek pula merupakan bekas timbalan menteri kewangan, dan pernah diangkat menjadi calon MB pada 2008, tetapi tumpas di kedua-dua kerusi Parlimen Bachok dan kerusi negeri Perupok yang ditandinginya.

Pada pilihan raya umum yang lepas, PAS memenangi 9 daripada 14 kerusi Parlimen, dan menguasai 33 kerusi berbanding 12 oleh Umno.

Walaupun kedua-dua parti dilihat mempunyai hubungan lebih rapat di peringkat nasional, ahli politik negeri masih berseteru.

Hanafi baru-baru ini mengumumkan mustahil Umno membentuk kerajaan campuran dengan PAS di Kelantan.

Ia di sebalik cabaran baru yang dihadapi PAS dalam bentuk Amanah, parti serpihan PAS, yang turut dipimpin bekas exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Husam yang rapat dengan bekas MB Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 2015, hampir pasti diangkat menjadi menteri besar sekiranya Pakatan Harapan berjaya pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Yakob kekal MB Kelantan

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud pula berkata pihaknya tidak tergugat dengan pengumuman calon MB yang bakal diangkat Umno.

“Kalau mereka kata mereka ada 6 calon, dalam kalangan 6 calon itu sendiri, mereka akan berkelahi sesama mereka, ia tidak memberi kesan langsung kepada kita (PAS Kelantan).
“Umno akan kalah kerana berebut jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan bijak berpolitik, mereka pandai membuat penilaian dan memilih parti mana yang layak menerajui Kelantan sekaligus tidak mudah termakan dengan janji manis Umno.

Katanya, PAS Kelantan akan mengekalkan Datuk Ahmad Yakob untuk terus menerajui Kelantan.

“Kita sudah ada MB dan kita tidak perlu fikir calon lain dan lepas PRU nanti dia (Ahmad Yakob) juga menteri besar kita, jadi tidak timbul isu berebut jawatan sepertimana dihadapi Umno sebelum ini.

“Kita PAS tidak perlu taja calon menteri besar, apa yang kita mahu, orang yang tadbir Kelantan ini, orang yang faham Islam, boleh melaksanakan Islam dan orang yang hidup dalam perjuangan Islam,” katanya sambil memaklumkan parti itu 100% bersedia menangkis segala serangan yang akan dibuat pihak lawan. 
 
 

Tiada ulasan: