SHAH ALAM: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS
Malaysia Bhd (PLUS) supaya segera merobohkan pondok tol di Plaza Tol
Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di sini, yang dimansuhkan
kutipannya sejak 1 Jan lalu, bagi menjamin keselamatan pengguna
Lebuhraya Persekutuan.
Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia
(LLM) bahawa Plus, yang merupakan bekas pengendali kedua-dua plaza tol
berkenaan, sudah mengeluarkan tender untuk kontraktor menjalankan
kerja-kerja perobohan.
“Tol berkenaan memang akan dirobohkan selepas kutipannya dimansuhkan.
Bila (kerja perobohan) dimulakan itu kita minta Plus segerakan supaya
tiada lagi kekeliruan dan pengguna lebuh raya tidak akan memperlahankan
kenderaan di situ. Kadang-kadang memperlahankan kenderaan boleh
menyebabkan kemalangan.
“Sebab itu memang kita minta (robohkan) secepat mungkin tetapi mereka
(Plus) pun ada prosedur yang perlu dipatuhi, dari segi proses tender
…apapun kita harapkan mereka akan dapat segerakan,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Penempatan Pekerja Binaan
yang disediakan oleh Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB) di
sini hari ini.
Bernama sebelum ini melaporkan mengenai tuntutan beberapa pengguna
lebuh raya berkenaan supaya pondok tol di kedua-dua plaza tol tersebut
dirobohkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Ini berikutan terdapat ramai pemandu kenderaan memperlahankan
kenderaan secara tiba-tiba apabila tiba di pondok tol berkenaan kerana
laluannya yang sempit.
Kebimbangan itu berasas apabila pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga telah
meragut nyawa dua sahabat pada Isnin lepas, apabila kereta yang dinaiki
mereka bersama seorang lagi rakan hilang kawalan, lalu merempuh pondok
tol itu.
Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan bermula pada 15 Nov 1993 dan
ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam
perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-Selatan.
Pemansuhan kutipan tol itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt
lepas, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara
hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan