Rabu, 24 Januari 2018

Satu parah, lapan cedera bas ekspres rempuh treler di Rembau

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
REMBAU: Seorang penumpang parah manakala lapan lagi cedera ringan selepas bas ekspres yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 232.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi ini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi berhampiran Hentian Sebelah Pedas-Linggi itu, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.
 
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau, Mazoraanim Abdul Hamid berkata, sebelum kejadian bas ekspres yang dinaiki 30 penumpang lelaki warga Bangladesh dalam perjalanan menghala ke ibu negara.
 
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang cedera parah manakala lapan penumpang lagi cedera ringan,” katanya hari ini.
 
Katanya, seramai tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.53 pagi.
 
Operasi tersebut turut melibatkan bantuan pasukan dari BBDP Tampin, Seremban 2 dan Alor Gajah di Melaka serta polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pihak hospital.
 
 

Tiada ulasan: