Selasa, 23 Januari 2018

RM2.2j tingkat keselesaan penghuni di Selangor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KLANG: Penghuni di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera, di sini, bakal menikmati persekitaran yang lebih selesa dengan penyaluran peruntukan RM2.2 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata ia termasuk bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung; pemasangan pagar bagi memisahkan kawasan pangsapuri dan kilang serta penambahbaikan surau.
 
"Usaha ini adalah sebahagian daripada matlamat kita untuk memastikan rakyat yang tinggal di kawasan bertingkat di Selangor mendapat kemudahan sebaiknya," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera.
 
Pada masa sama, Noh turut membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
 
"Kita sudah beri dua penggal untuk dia, tapi masih gagal, jadi cukup-cukuplah kita percaya kepadanya," katanya.
 
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Hasnul Azim Mokhtar, 35, menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membina gelanggang futsal berbumbung bagi penduduk kediaman terbabit.
 
Katanya, ia membolehkan belia di situ memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti beriadah.
 
"Saya gembira dan bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan membantu menyediakan gelanggang futsal yang sememangnya ditunggu penduduk di flat ini.
 
"Kos pembinaan yang agak tinggi menyebabkan hasrat ini terpaksa ditangguhkan kerana tiada pihak yang sanggup membiayainya," katanya.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (JMB) Pangsapuri Sri Ayu, Kamarulzaman Masri, berkata penduduk seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan KPKT kerana menyediakan peruntukan yang besar untuk penghuni.
 
 

Tiada ulasan: