Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Exco PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad mengesahkan
peruntukan kawasan bagi wakil rakyat parti itu tidak dapat dikeluarkan
buat masa ini sebagaimana yang dimaklumkan oleh pejabat daerah.
Beliau berkata, perkara itu menyebabkan program PAS terpaksa dihentikan
sementara ataupun wakil rakyat PAS perlu menggunakan sumber kewangan
peribadi untuk melaksanakan program yang direncanakan.
Malah Iskandar mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa beliau tetap
berpegang dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali bahawa
kerajaan negeri tidak menyekat peruntukan berkenaan sebaliknya ia
disebabkan masalah teknikal.
"MB kata bukan beku tapi ada masalah teknikal. Saya pegang dengan
kata-kata MB itu dan harap perkara dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Sekarang program-program ADUN PAS terpaksa diberhentikan atau perlu menggunakan duit peribadi.
"Tuntutan dari pembekal-pembekal untuk program yang telah dijalankan
juga tidak dapat dibayar sehingga peruntukan dilepaskan," katanya dalam
mesej yang dihantar menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
Ketika ditanya sama ada masalah itu dihadapi oleh ADUN PAS sahaja, jawab Iskandar: "Saya tak tahu. Saya tak tanya ADUN lain."
Desas-desus sekatan peruntukan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan
lima penyelaras DUN oleh kerajaan negeri sudah mula bertebaran hujung
tahun lalu.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan sebagai
berkata, pihaknya akan meminta Azmin mengadakan mesyuarat dengan mereka
bagi memperjelaskan mengapa peruntukan disalurkan kepada wakil rakyat
PAS disekat.
Sallehen juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menghadap Sultan
Selangor minggu ini jika isu pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil
rakyat parti itu tidak diselesaikan segera.
Azmin sebelum ini menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan
kepada wakil rakyat PAS di negeri itu, sebaliknya kelewatan itu
disebabkan masalah teknikal.
Mengulas kenyataan Sallehen, jawab Iskandar, ia adalah hak pemimpin itu selaku Pesuruhjaya PAS Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan