Selasa, 30 Januari 2018

PPBM urus parti tak mampu, nak perintah negara?


Muhamad Izwan Mohd Zubit


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menguruskan parti dengan baik menunjukkan mereka sebenarnya pun tidak mampu untuk memerintah negara dengan baik, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri tidak yakin dengan kemampuan PPBM yang kononnya mahu menjadi pengganti kepada UMNO kerana  mengadakan mesyuarat peringkat akar umbi pun gagal.

Malah mereka melanggar perlembagaan parti sendiri yang mereka cipta.

“Kita tak nampak dari segi prinsip perlembagaan, kalau kita buat perlembagaan sendiri, kita kena patuh pada perlembagaan kita.

“Saya diberitahu peringkat cawangan, bahagian mereka (PPBM) tak ada mesyuarat, alih-alih peringkat nasional ada perhimpunan, kita tak tahu macam mana perwakilan itu datang?

“Jadi, maknanya pengurusan parti sendiri boleh dipersoalkan daripada segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan dan diluluskan mereka dan adakah ini petanda mereka boleh jalankan tanggungjawab lebih besar? ” soal Najib pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Sebelum ini, sebanyak lapan bahagian parti itu mendakwa pucuk pimpinan PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan.

Ia menyebabkan ahli-ahli parti diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak mengetahui status kesahihan jawatan dan kedudukan parti sehingga kini.

Beberapa laporan aduan juga dibuat oleh pemimpin Bahagian PPBM kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mempersoalkan sama ada Perhimpunan Agung PPBM pada Disember lalu sah atau pun tidak kerana gagal menjalankan mesyuarat peringkat bahagian dan cawangan.

Krisis melibatkan blok Pakatan Harapan (PH) juga semakin meruncing susulan pengumuman pencalonan Mahathir sebagai Perdana Menteri Ke-7 yang menimbulkan bantahan daripada penyokong PH sendiri.

Terbaharu, kemelut pembahagian kerusi juga melanda blok pembangkang itu apabila terdapat rakan parti komponen tidak berpuas hati kerana mendapat sedikit kerusi.

Malah Konvensyen PH Negeri Sembilan baru-baru ini tercetus pergaduhan ekoran ahli PPBM negeri yang mengamuk sehingga Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terpaksa menamatkan awal ucapannya ketika majlis tersebut. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: