Selasa, 16 Januari 2018

PKR persoal polis tidak bertindak atas laporan pengundi hantu

 
Tan Yee Kew berkata, laporan polis membabitkan 1,429 individu yang disyaki memberi maklumat palsu kepada SPR dan JPN, dengan 3,500 suspek lain dikenal pasti.


Tan-Yee-Kew

PETALING JAYA: PKR hari ini mempersoalkan kekurangan tindakan polis terhadap laporan individu memberi maklumat palsu mengenai alamat rumah dalam cubaan menukar pusat mengundi.

Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dalam surat terbuka kepada ketua polis negara berkata, laporan polis dibuat sejak Ogos hingga November lalu, tetapi tiada perkembangan lanjut walaupun berkali-kali bertanya pegawai penyiasat.

Beliau berkata, laporan polis itu membabitkan 1,429 individu yang disyaki memberi maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan 3,500 suspek lain dikenal pasti.

Katanya, hasil siasatan dari pintu ke pintu PKR di Wangsa Maju tidak menemui individu yang mendakwa menetap di kawasan itu dan pemilik alamat juga tidak tahu atau mengenali individu terbabit.

“Ini ternyata satu perbuatan yang dapat menjejaskan ketelusan dan integriti sistem pengundian negara kita secara keseluruhan.

“Sekiranya tiada penahanan dilakukan terhadap individu-individu tersebut, kami khuatir sistem pendaftaran dan pengundian secara keseluruhannya akan terkesan dengan teruk. Ini adalah satu petanda tidak baik untuk negara kita.”

Julai lalu, Tan dilaporkan berkata, PKR mempunyai bukti 1,609 pengundi hantu dipindahkan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju antara Julai dan Disember 2016.

Katanya, 80% daripada pemilik rumah tidak tahu mengenai pengundi yang didaftarkan menggunakan alamat mereka, manakala beberapa rumah yang dikunjungi didapati sama ada kosong atau dikunci.

Beliau berkata, pengundi hantu itu adalah sebahagian besar daripada 4,804 pengundi baru – melalui pendaftaran atau pemindahan – di kawasan itu yang memberi kesan signifikan pengundian di Taman Melati, Seksyen 1 Wangsa Maju, Gombak Utara dan Wangsa Melati.

Kerusi Parlimen Wangsa Maju mempunyai 18 kawasan pengundian.

Tan berkata, PKR kecewa kerana jenayah serius memalsukan maklumat kepada SPR dan JPM tidak disiasat sepenuhnya dan secara efektif.

:Kami amat kecewa dengan sikap acuh tidak acuh polis. Sekiranya kenyataan kami ini hanyalah suatu persepsi, maka kami mencabar polis menyatakan persepsi kami terhadap mereka sebenarnya tersilap.

“Kami mahu keadilan diberikan dan perkara sebetulnya dilakukan polis untuk melakukan siasatan lengkap dan menyeluruh terhadap perkara ini supaya ada pengakhiran.

“Sekiranya ia tidak disiasat dengan teliti, pihak yang bertanggungjawab atas jenayah ini akan terus bebas untuk membawa kerosakan kepada pilihan raya umum, sistem pendaftaran dan pengundian, serta integriti dan ketelusan sistem pemilihan demokratik di negara ini.”

Tiada ulasan: