Selasa, 23 Januari 2018

PH ‘pengacau’ usaha Pas memulihkan negara

Nizam Zain
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar
 
 
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah ‘pengacau’ kerana mengejar cita-cita politik tanpa halatuju dan dasar yang jelas.
 
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menyifatkan ciri-ciri yang diwarisi pakatan pembangkang itu menganggu usaha Pas untuk memulihkan negara dan masyarakat melalui sistem politik Islam.

“Pelbagai kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PH bersifat menentang dan juga cuba mengelirukan masyarakat terhadap Islam.

 Tun Mahathir (Mohamad) sejak dahulu mengeluarkan kenyataan sentiasa mengelirukan.

“DAP pula jelas menghalang pemerkasaan Mahkamah Syariah melalui RUU 355, tepuk rentak mereka disambut pula dengan tarian meriah oleh PKR dan PAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman pada Sabtu lalu melabelkan Pas lebih cenderung menjadi ‘pengacau’ dalam PRU14 dan menyebabkan berlaku pertandingan lebih tiga penjuru.

Fauzi juga menyifatkan langkah Pas mewujudkan pertandingan tiga penjuru semata-mata sandiwara politik bagi memberi ‘nafas’ untuk memenangkan UMNO.

Rosli selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur menegaskan, sikap sinis pemimpin PH terhadap Islam menimbulkan keresahan dan mencetuskan kemarahan umat Islam.

“Sikap mereka ini juga menimbulkan ketidakselesaan masyarakat lain sama ada Cina dan India kerana bukan semua Cina dan India itu DAP, sebagaimana tidak semua Melayu itu UMNO dan Pas.

“Saya yakin masyarakat Cina dan India juga memiliki naluri cintakan kedamaian dan pastinya tidak selesa dengan cara DAP dan yang sewaktu dengannya,” katanya.

Katanya lagi, PH paling ‘pengacau’ daripada parti pembangkang lain susulan kelemahan parti pembangkang itu dari segi pelbagai perkara termasuk jentera dan mempunyai cawangan sedikit.

“PH-lah yang paling spoiler, hanya ada nama sahaja tapi ahlinya tiada, sedangkan faktor ini adalah faktor paling asas untuk mengukur kekuatan.

“Ini menunjukkan bahawa merekalah sebenarnya ‘spoiler’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: