Rabu, 24 Januari 2018

PH beritahu Warisan: Beri kami kerusi Parlimen, kamu ambil DUN

 
PH Sabah mahu Warisan memimpin peringkat negeri tetapi benarkan PH bertanding 60% kerusi Parlimen di Sabah.


Stephen-Wong_warisan_harapan_600

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan Sabah mengakui peranan Parti Warisan Sabah mengepalai peringkat negeri dan bersedia membenarkan parti tempatan itu bertanding 60% kerusi negeri pada pilihan raya nanti.

Timbalan Pengerusi PH Sabah Stephen Wong bagaimanapun berkata parti yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal mesti bertolak ansur dan membenarkan PH bertanding 60% daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah.

“Saya rasa ini yang terbaik yang boleh kita tawarkan pada Warisan. Ini yang kami usulkan. Ini menunjukkan PH fleksibel kerana kita bersedia untuk perubahan. Kami mahu parti tempatan memimpin negeri sementara kami memimpin peringkat nasional dan saya rasa 60% iaitu bersamaan 36 kerusi DUN daripada 60 kerusi adalah jumlah yang besar,” katanya.

Pengerusi DAP Sabah positif usul itu boleh dipersetujui Warisan. Beliau mendedahkan mesyuarat tidak rasmi antara pemimpin PH Sabah dan Shafie berlangsung semalam tetapi kedua-dua parti tidak dapat mencapai satu konsensus.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan awal dan Wong percaya kebuntuan boleh dileraikan selepas beberapa mesyuarat.

Sumber dalaman parti-parti terlibat mendedahkan kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju tentang pengagihan kerusi terutamanya kerana DAP, PKR dan Amanah mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas tetapi Warisan mahu menandingi beberapa kerusi itu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH Sabah diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk memuktamadkan calon-calon mereka.

Pimpinan PH juga diberitahu supaya menyelesaikan perselisihan dengan parti pembangkang tempatan, terutamanya Warisan.

“Inilah sebab mengapa kita mesti segerakan rundingan. Kita berharap perkara ini diselesaikan supaya kita boleh bergerak ke depan dan mula bekerjasama,” kata Wong.

Ditanya sama ada perkembangan ini akan menjejaskan hasrat DAP Sabah bertanding di pedalaman Sabah, Wong berkata isu itu kecil berbanding isu yang sedang ditangani iaitu membentuk kerjasama rasmi dengan parti-parti pembangkang tempatan.

“Gabungan yang dicadangkan ini terbuka kepada semua parti pembangkang di Sabah yang berkongsi matlamat Pakatan Harapan,” katanya tanpa menyebut perikatan parti tempatan lain iaitu Gabungan Sabah

Tiada ulasan: