Selasa, 23 Januari 2018

Pengundi Parlimen Kota Raja desak SPR tambah satu kerusi Dun baharu



Pengundi Parlimen Kota Raja desak SPR tambah satu kerusi Dun baharu



Pengundi di kawasan Parlimen Kota Raja mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan itu bagi menyeimbangkan faktor demografiyang dikhuatiri meningkat pada masa depan.

Wakil pengundi, Datuk Amzah Umar berkata ini kerana kepadatan semasa penduduk yang tinggi dan jangkaan pertambahan pengundi di kawasan itu boleh menyebabkan rakyat setempat sukar menerima perkhidmatan berkualiti daripada Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih.

Beliau berkata secara idealnya, seorang wakil rakyat mampu berkhidmat kepada 40,000 pengundi sahaja dan mana-mana kawasan yang mempunyai lebihan jumlah pengundi, pastinya akan berlaku ketidakadilan dalam menunaikan tanggungjawab membela masyarakat.

Datuk Amzah Umar

Tambah Amzah, Parlimen Kota Raja kini mempunyai dua kawasan Dun iaitu Dun  Sri Muda dan Dun Seri Andalas yang masing-masing mempunyai lebih 50,000 pengundi berdaftar.

“Dengan penambahan satu lagi Dun baharu, ia mampu menyeimbangkan kepadatan pengundi dalam lingkungan 38,000 ke 41,000 bagi setiap Dun. Langkah ini juga akan memudahkan wakil rakyat yang dipilih menyampaikan khidmatnya kepada rakyat.

“Disebabkan itu, kami cadang supaya Dun Kota Alam Shah yang sebelum ini di bawah Parlimen Klang, dimasukkan ke Parlimen Kota Raja namun ditukarkan nama kepada Dun Sentosa bagi mengelakkan kekeliruan pengundi,” katanya dalam sidang media  diadakan seperti dilaporkan portal rasmi Umnoonline hari ini.

Amzah, yang juga bekas Adun Sri Muda berkata rata-rata pengundi kawasan Parlimen itu bersetuju dengan cadangan SPR untuk membuat penambahan Dun dalam syor pertama kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor kerana ia bakal memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, sekiranya pertambahan DUN tidak dilaksanakan, jumlah pengundi di Parlimen Kota Raja diramal boleh menjangkau sehingga 150,000 orang dan ia akan lebih menyukarkan rakyat menerima pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat yang dipilih khususnya di kawasan terpencil.

Menurut seorang lagi pengundi di Parlimen itu, Ab Rahman Nordin, penangguhan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sepatutnya dilakukan pada tahun 2011 menyebabkan perubahan demografi yang amat ketara khususnya di kawasan bandar.

Beliau yang turut senada dengan Amzah menyatakan, persempadanan semula itu harus dilaksanakan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan menjadikan pentadbiran sesuatu kawasan lebih efisien serta memberi kebaikan kepada rakyat.

Sebelum ini, SPR memaklumkan bahawa siasatan tempatan kali pertama berhubung bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri Selangor selesai dijalankan pada 27 Dis hingga 9 Januari lalu.

SPR kini sedang mempamerkan cadangan persempadanan semula untuk kali kedua, dan tempoh pameran dan bantahan akan berakhir pada 14 Februari depan.

Tiada ulasan: