Selasa, 30 Januari 2018

Pemandu teksi, operator bas sekolah P. Pinang terus nikmati insentif tahunan


Roketkini.com

Sekitar 1,702 pemandu teksi dan operator bas sekolah di Pulau Pinang terus menikmati insentif tahunan sebanyak RM600 daripada kerajaan Pakatan Harapan sebagai penghargaan kepada golongan tersebut.

Pada tahun ini, sebanyak RM899,700 diperuntukkan bagi pemberian tersebut dengan pemberian insentif bahagian pertama sebanyak RM300.

Berucap dalam majlis pemberian insentif berkenaan, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, insentif ini merupakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua pemandu teksi dan operator bas sekolah atas dedikasi yang telah dicurahkan kepada rakyat.

“Kita (Kerajaan Negeri) tahu hargai pemandu teksi dan operator bas sekolah bukan hanya dengan ucapan terima kasih sahaja, tetapi dengan pemberian (insentif) wang.

“Pemandu-pemandu teksi seluruh Malaysia tahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sahaja yang memberikan insentif ini, langkah ini wajar diikuti mereka (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain).

“Tanpa pemandu teksi, sektor pelancongan takkan membangun, kita kena pandai kenang jasa pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah,” kata Setiausaha Agung DAP itu lapor Buletin Mutiara.

Guan Eng secara berseloroh berkata, pemandu-pemandu teksi negeri jiran juga boleh menikmati pemberian insentif yang serupa dan hanya perlu ‘mengubah kerajaan’.

“Untuk menikmati insentif ini, sampai ada pemandu teksi di negeri-negeri jiran sanggup mengubah tempat mengundi, tidak perlu bersusah-payah begitu, apa yang perlu hanya ubah kerajaan sudah.
“Kalau ubah kerajaan, kita percaya akan mencontohi apa yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kini.

“Termasuk juga dengan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta menstabilkan kembali harga minyak dan petrol,” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon; serta Exco-exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow. Lim Hock Seng dan Law Heng Kiang. – Roketkini.com


Tiada ulasan: