Selasa, 16 Januari 2018

PAS berundur selepas doktor kecam cadangan potong tangan

 
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hudud bukan sebahagian RUU 355 dibawakan PAS bagi memperkasakan undang-undang syariah.


tuan-ibrahim-3


PETALING JAYA: PAS berkata, tiada keperluan membincangkan cadangan menggunakan khidmat pakar bedah untuk menjalankan hukuman punitif potong tangan di bawah hudud, selepas saranan kerajaan Kelantan dikecam komuniti perubatan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu FMT, perbincangan itu tidak relevan kerana tiada undang-undang sedemikian di Malaysia ketika ini.

“Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang belum lulus pun tiada peruntukan bagi melaksanakannya,” katanya merujuk RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat sejak Mei 2016.

“Apa yang penting sebelum bincang siapa yang akan laksana, kena pastikan peruntukan undang-undangnya wujud dahulu.”

Baru-baru ini, beberapa doktor terkemuka ketika mengecam cadangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggunakan khidmat pakar bedah memotong tangan pencuri, berkata tugas doktor ialah menyelamatkan nyawa, bukan sebaliknya.

“Dia patut tahu kerjaya perubatan kerjaya paling mulia di dunia dan salah dari segi moral untuk mencadangkan tindakan kejam seperti itu terhadap manusia atas nama agama,” kata Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, seorang pakar bedah kardiotorasik dan kini mengajar di Universiti Monash Malaysia.

Dr Farouk yang turut mengetuai Islamic Renaissance Front berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya memfokuskan masalah lain di negeri itu daripada bercakap mengenai rancangan yang belum dapat direalisasikan seperti hudud.

Padar bedah Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan pengulas politik, Dr M Bakri Musa turut menolak cadangan Nik Amar dengan menyifatkannya “bodoh”.

“Mereka berada dalam kedudukan memerintah dan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, tetapi mereka sibuk dengan perkara seperti memotong tangan.”

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut bersetuju Kementerian Kesihatan tidak akan membenarkan doktor menjalankan hukuman punitif potong tangan.

“Pendirian kita pada 2015 kekal hari ini. Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia sangat jelas dalam perkara itu,” katanya kepada FMT Ahad lalu.

Tiada ulasan: