Jumaat, 12 Januari 2018

Pakatan hanya ‘basuh kaki’ bila bersama Pas

Nizam Zain
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor, Muhammad Najhan Halim
 
 
KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) sebelum dibubarkan hanya ‘basuh kaki’ ketika bersama Pas dan semua keperluan pilihan raya disediakan oleh parti Islam itu termasuk tenaga manusia untuk memenangkan mereka.
 
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor, Muhammad Najhan Halim mendakwa, bekas rakan tahaluf siyasi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagaimanapun melayan parti Islam itu bagaikan pengemis apabila mereka mendapat kuasa.

“Pemimpin parti kawan hanya datang berceramah, berjabat tangan dan bertemu pengundi dan rakyat, tetapi kerja-kerja di sebalik semua itu telah disediakan oleh Pas.

“Jentera Pas sudah serik dengan karenah bermuka-muka bekas rakan politik Pas, sewaktu pilihan raya datang bertemu Pas dengan wajah tanpa bersalah dan merayu bantuan.

“Akan tetapi selepas mencapai kemenangan dan pilihan raya, melayani Pas seumpama peminta sedekah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pas merupakan parti politik terbesar di negara ini dengan keupayaan 190 kawasan yang aktif, 7,000 cawangan serta mempunyai keahlian mencecah lebih 1 juta orang hingga kini.

“Keupayaan dan ketumbukan ini usah dipandang enteng kerana dalam kancah politik dan pilihan raya, tenaga manusia adalah faktor terpenting dalam penentuan pergerakan serta operasi parti.

“Beberapa pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, Pas berada dalam tahaluf politik dan kerjasama, jentera serta kekuatan semua ahli Pas dikerahkan untuk menyumbang tenaga dan kepakaran kepada parti kawan.

“Malah wang ringgit dan sumbangan derma ahli Pas turut dilimpahkan untuk memastikan kemenangan rakan politik Pas,” katanya.

Katanya lagi, meskipun Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan dengan penyertaan dua parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun ia masih tidak mampu menandingi kekuatan Pas.

“Pas memiliki sesuatu yang mereka tidak miliki iaitu jentera dan aset yang mencukupi.

“Walaupun tidak bersama mereka lagi, Pas mempunyai kelebihan tersendiri dan kepakaran yang mampu mengisi kelompongan dirobek keluar daripada Pas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: