Rabu, 24 Januari 2018

Muhyiddin jangka PH selesai agihan kerusi akhir bulan ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Agihan kerusi di Sabah membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang negeri itu dijangka selesai hujung bulan ini.
 
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berharap agihan kerusi di negeri lain juga dapat di selesaikan dalam tempoh yang sama.
 
"Kita akan minta setiap parti (PH) untuk menyenaraikan calon mengikut kawasan yang dikhususkan dan setiap parti saya pasti sudah kenal pasti bakal calon.
 
"Begitu juga dengan pembahagian kerusi mesti dibereskan sebelum akhir bulan ini. Kita minta semua negeri menyelesaikan agihan bagi setiap kerusi DUN atau Parlimen," katanya pada sidang media PH Sabah, hari ini.
 
Turut hadir ialah Pengerusi Pakatan Harapan Sabah yang juga Pengerusi PKR negeri, Christina Liew dan Timbalannya yang juga Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong.
 
Muhyiddin berkata, PH terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini yang berkongsi matlamat sama untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
 
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pertemuan atau kerjasama rasmi dengan parti pembangkang lain termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
 
"Terpulang kepada Shafie untuk buat apa yang patut, ..saya tidak ingat sama ada dia pernah cakap pasal itu (kerjasama Warisan dan Pakatan Harapan) dengan saya," katanya.
 
Sementara itu, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan, berkata PH Sabah sedia menawarkan 60 peratus atau sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN kepada Warisan dan mengiktiraf parti itu sebagai parti tunjang di peringkat negeri.
 
Sebagai timbal balik, katanya, pihaknya mahu supaya 60 peratus atau sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen diagihkan kepada PH Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
 
Katanya, cadangan itu sudah dipersetujui secara sebulat suara oleh pemimpin PH Sabah dan ia akan dibincangkan dengan Mohd Shafie dalam masa terdekat.
 
 

Tiada ulasan: