Selasa, 16 Januari 2018

MSO Anggap Tawaran Parlimen Gombak Azmin Pohon Maaf Kepada Mahathir



 
 

Penulis politik Mohd Sayuti Omar (MSO) menyifatkan penawaran Parlimen Gombak oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai isyarat permohonan maaf Menteri Besar Selangor terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu Perdana Menteri.

Apabila Mahathir menolak tawaran Azmin untuk bertanding di Parlimen Gombak bermaksud Pengerusi PH itu menolak permohonan maaf tersebut.

“Dr Mahathir menolak penghuluran “maaf” oleh Azmin Ali dengan menawarkan kerusi parlimen Gombak. Azmin membuat tawaran terbuka kepada Dr Mahathir kerusi disandangnya itu selepas beliau dan gengnya menunjukkan protes terhadap pencalonan Dr Mahathir sebagai calon PM.

“Semalam Dr Mahathir menolak tawaran itu dengan baik sambil berkata beliau sedang menimbang bertanding di tiga kerusi, Puterajaya, Langkawi atau kerusi asalnya Kubang Pasu.

“Bagi orang yang makrifat dengan politik cukup faham dengan penolakan Dr Mahathir itu. Bermakna dia tidak mahu merai Azmin yang mempraktikan politik meletihkan. Bahasa orang tua kadang-kadang sukar untuk difahami, kadang-kadang tersangat mudah untuk di mengertikan.

“Dr Mahathir juga berkata; Azmin juga boleh jadi PM, tetapi sayang dia tidak ditawar untuk jawatan itu. Maksudnya Dr Matahir tidak merekminkan MB Selangor itu untuk meloncat ke kerusi PM.

Sebabnya tentulah ada,”katanya dalam Facebook.



Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan tawaran Azmin bertanding di Parlimen Gombak sebagai mencabar Mahathir kerana parlimen itu merupakan kubu kuat PAS.

“Baiklah kamulah (Mahathir) yang layak lalu Azmin menawarkan (saya lihat mencabar). Silakan Tun bertanding di kerusi Parlimennya di Gombak kerana PM mesti punya kerusi Parlimen.

“Azmin tahu apa bakal berlaku pada Tun jika beliau bertanding di “kubu hijau” Gombak.

“Tapi Tun kan pilihan utama. Sebagai pemimpin tersohor beliau patut boleh bertanding di mana sahaja. Gombak bukan kerusi BN tapi kerusi PKR yang dimenangi MB.

“Sanggupkah Tun terima tawaran Azmin itu atau tiba-tiba rasa diri tidak layak?

“Saya pasti rakyat “kubu hijau” Gombak pasti “excited” jika Tun berani ke sana,”katanya dalam satu kenyataan.

Roslan sepertimana dilaporkan FMT sama ada Azmin atau Mahathir bertanding di Parlimen Gombak, PAS sendiri bakal meletakkan calon untuk bertanding di Parlimen itu.

“Kita (PAS) sudah lancarkan jentera pilihan raya dan sah akan bertanding di kerusi Parlimen dan kerusi DUN. Kita ambil semula kerusi yang sebelum ini diserahkan kepada PKR,” tambahnya, mengesahkan akan berlaku pertandingan 3 penjuru di kawasan Azmin tersebut.

Roslan berkata kerusi DUN Batu Caves dan Ulu Kelang di bawah Parlimen Gombak juga tidak stabil. Batu Caves diduduki Amirudin Shari dari PKR sementara Ulu Kelang diduduki Saari Sungib dari Amanah. Kerusi ketiga, DUN Gombak Setia diduduki Hasbullah Mohd Ridzwan dari PAS.

“Kalau ikutkan persempadanan semula, kekuatan politik Melayu semakin teguh di 3 DUN berkenaan dan secara tradisinya, PAS bertanding dengan selesa,” kata Roslan.

Roslan percaya kawasan majoriti pengundi Melayu tidak akan melihat kepada kekuatan calon semata-mata tetapi melihat parti.

“Kalau politik kawasan Melayu, ia tidak bergantung sangat dengan calon tetapi sokongan parti terhadap calon berkenaan.

“Calon boleh berubah, Saari Sungib keluar dari PAS pun dia tidak membawa keluar keseluruhan ahli PAS di kawasan Ulu Kelang,” katanya.

Tiada ulasan: