Isnin, 29 Januari 2018

Ketua polis tiada alasan lagi, kata Indira merayu mahu mendakap anak

 
Indira masih hiba dalam kegembiraan di penghujung kes yang memakan masa 9 tahun. 


indira_kuna_law
Indira Gandhi (baju merah) bersama peguam M Kulasegaran ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penukaran agama anaknya oleh bekas suami sebagai tidak sah.


PUTRAJAYA: M Indira Gandhi hari ini menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun membuat tangkapan segera ke atas bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan menukar agama 3 orang anak mereka kepada Islam sebagai tidak sah.

“Keputusan sudah ada, ketua polis tidak mempunyai alasan lagi. Beliau tidak boleh beri alasan lagi yang polis tidak boleh buat apa-apa, polis harus memulakan tindakan sekarang,” katanya kepada wartawan, ditemani peguamnya M Kulasegaran.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan pihak polis menahan Riduan.

Bagaimanapun ketua polis ketika itu Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat memenuhi arahan itu kerana bercanggah di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Dua anak Indira, Tevi Darsiny dan Karan Dinish, kini masing-masing sudah mencapai umur dewasa, iaitu 21 dan 20.

Bagaimanapun, anak bongsunya Prasana Diksa, yang akan berusia 10 tahun, dilarikan ayahnya sejak 2009.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan penukaran agama sebelah pihak yang melibatkan 3 anak Indira, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Dalam apa yang disifatkan sebagai keputusan penting, mahkamah juga memerintahkan hanya mahkamah sivil boleh memberi keputusan dalam hal seperti itu.

Keputusan hari ini mengakhiri pertarungan selama 9 tahun mengenai hak penjagaan antara agama, selepas Riduan yang masuk Islam menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.

Mahkamah turut memutuskan perkataan “parent” seperti dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca sebagai bermaksud kedua-dua ibu dan bapa.

Bagaimanapun, Indira berkata beliau masih tidak dapat bergembira sepenuhnya kerana rindu akan anak bongsunya yang dilarikan Riduan.

“Sembilan tahun saya menanti dan hari ini ia sudah berakhir, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuklah saudara mara saya kerana siang malam bersama memberi sokongan kepada saya, terima kasih juga kepada hakim kerana keputusan hari ini memihak kepada saya.

“Bagaimanapun, saya masih sedih kerana saya tidak tahu anak perempuan saya berada di mana, saya tidak dapat melihatnya dan benar-benar mahu mendakapnya, saya merayu.”

“Saya tidak tahu bila dia akan bertemu saya, walaupun kami memenangi kes ini, dia masih tidak bersama kami,” katanya di luar Istana Kehakiman di sini.

Sementara itu Kulasegaran berkata, keputusan mahkamah sekaligus membolehkan pihak mahkamah Sivil berhak mendengar perkara apabila terdapat keputusan yang salah dibuat oleh mahkamah syariah pada kes penukaran status agama anak.

“Dalam keputusan hari ini secara jelas mengatakan keputusan menukar status agama anak perlu mendapat persetujuan kedua belah pihak ibu dan bapa,” katanya.

Kulasegaran berkata isu penukaran status agama anak tidak perlu dibincangkan di Parlimen kerana pihak mahkamah telah memutuskannya.

Katanya, keputusan kerajaan menerusi Parlimen sebelum ini menarik balik Rang Undang-undang (RUU) pindaan Akta Perkahwinan dan Penceraian menghalang penukaran agama satu pihak lebih kepentingan politik.

Tiada ulasan: