Jumaat, 19 Januari 2018

“Kes Farid Beri Pengajaran Buat Semua” – Yana





MYNEWSHUB.

PELAKON jelita, Yana Samsudin menganggap apa yang berlaku kepada kepada pengarah, Datuk Farid Kamil memberi seribu satu pengajaran bukan sahaja buat keluarga malah semua pihak.

 

Adik ipar kepada pengarah itu berkata sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Farid, dia memberi sokongan penuh terutama kepada suaminya, Fadzil Zahari yang turut tertekan tatkala menguruskan hal abangnya itu.

“Sebagai isteri tentulah saya beri sokongan moral penuh kepada suami saya. Sebenarnya, orang yang terlibat (Farid) dia hanya di sana (ditahan reman) tetapi orang yang menguruskan hal ini sebenarnya paling penat.

“Sebenarnya sebelum kejadian hari Khamis lalu, saya dan suami sudah terlibat dalam hal ini. Saya tahu keadaan suami saya yang tidak cukup tidur. Jadi saya pastikan dia tidak terlalu penat.

“Perkara ini tidak pernah terjadi dalam hidup. Jadi sukar bagi kami untuk menghadapinya. Malah sikap Farid yang begitu membuatkan kami sendiri tertanya-tanya. 

“Tetapi dalam masa sama kami berusaha mencari jalan penyelesaian. Walaupun begitu kami tidak mengganggu urusan pihak polis,” kata Yana ketika dipetik portal Malaysian Digest.



Dalam pada itu, Yana yang enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini Farid turut berkata dia yakin bahawa apa terjadi kepada Farid membawa banyak hikmah dan mereka sekeluarga menerimanya sebagai satu ujian.

“Farid sudah seperti abang saya sebelum dia jadi abang ipar. Kami saling mengenali kerana pernah berada dibawah satu pengurusan yang. Malah cerita cinta saya yang dulu pun dia banyak tahu.

“Dan saya percaya ada sesuatu yang kita tak tahu apa sebenarnya dia sedang alami. Jadi kita kena sembuhkan dia dahulu. Untuk seorang berusia 37 tahun, dan dia telah dapat sesuatu dalam hidup.

“Itu sebenarnya sangat bagus. Lagipun dalam al-Quran ada menyebut, kalau kita berubah jadi lebih baik di usia menjangkau 40 tahun maka dia akan terus menjadi lebih baik.

“Apa yang terjadi kepada Farid ada hikmah yang sangat bagus untuk kita semua,” ujar anak jati kelahiran Johor ini yang kini menjadi pengacara bual bicara Bismillah Ad-Dhuha di saluran Astro Oasis.



Dalam prosiding pada Rabu, Farid didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, Khamis lalu.

Farid namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Majistret Mahkamah, Nor Ariffin Hisham di kompleks mahkamah Petaling Jaya dan dibebaskan dengan jaminan RM12,000. MYNEWSHUB.CC/AM

Tiada ulasan: