Sabtu, 20 Januari 2018

Kalau saya jadi Farid Kamil, saya pulang balik - MB Pahang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, seharusnya memahami maksud titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung kedudukan gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang dianugerahkan kepadanya sebelum ini.
 
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, titah Tengku Abdullah mengenai pemulangan gelaran DIMP itu dizahirkan secara diplomasi yang menggambarkan keperibadian baginda sebagai seorang raja yang baik hati.
 
“Itu titah diplomasi. Baginda titahkan kalau pulangkan (darjah kebesaran) lebih baik. Sebenarnya kerajaan negeri juga boleh tarik balik dengan perkenan raja. Kalau saya jadi Farid saya pulang balik,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.
 
Kelmarin, Tengku Abdullah tanpa menyebut nama Farid mengakui, baginda berasa dukacita dengan tindakan pelakon berkenaan yang didakwa di mahkamah kerana menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam dalam kejadian di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 11 Januari lalu.
 
Farid merupakan antara artis tanah air yang menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Di­sember lalu.
 
Pada Selasa lalu, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam.
 
 

Tiada ulasan: