Ahad, 14 Januari 2018

Jualan jersi JDT RM1.2 juta pada hari pertama

Wartawan MalaysiaGazette

Jersi baharu JDT dilancarkan pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Laman facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) mengumumkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjana jualan sebanyak RM1.2 juta pada hari pertama pelancaran jersi baharu pasukan itu.

Menurut kenyataan tersebut, jersi baharu telah dijual di seluruh daerah negeri Johor dan mendapat sambutan yang mengalakkan daripada penyokong Harimau Selatan.

Kelmarin, lebih 1,000 penyokong JDT hadir menyaksikan majlis pelancaran jersi baharu pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang diadakan di Dataran Bandaraya.

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi yang bakal digunakan oleh JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim III (JDT III) untuk saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta’zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Jersi baharu itu dijual pada harga RM215 sehelai dan jersi alternatif pada harga RM179.

Menurut Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodridgues, jersi baharu keluaran Nike pada musim ini agak unik.

Ia dibahagikan beberapa segmen iaitu warna biru untuk aksi di gelanggang sendiri, warna merah untuk perlawanan di tempat lawan, manakala warna putih jersi alternatif.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Skuad kendalian Ulisses Morais akan menggunakan jersi baharu itu pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Liga Thai 1 (Thai League 1), Muangthong United FC pada 23 Januari ini. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: