Ahad, 28 Januari 2018

Ibu bapa, sekolah diminta guna pendekatan bijaksana selesai masalah

ISMA WEB



PADANG TERAP, Ibu bapa dan pihak sekolah diminta menggunakan pendekatan bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul tanpa perlu melibatkan tindakan saman menyaman.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) misalnya boleh bertindak sebagai medium pengantara dalam menyelesaikan sebarang masalah berkaitan demi memastikan hasrat kemenjadian pelajar mampu dicapai.

“Kes seperti ini (saman menyaman) tidaklah sebanyak mana pun, cuma kita harap ada kebijaksanaan antara kedua belah pihak dan tidak perlulah sampai ke peringkat saman menyaman.

“Bagaimanapun kementerian sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya perlu dalam kes-kes seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan bahawa kes saman terhadap guru semakin meningkat.- Bernama


Tiada ulasan: