Khamis, 18 Januari 2018

Himpunan Fastaqim: PAS akur keputusan MDKS

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akur dengan keputusan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang tidak membenarkan Himpunan Fastaqim 2.4 anjuran parti itu diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Ahad ini. 
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya sudah mengenalpasti lokasi alternatif untuk program berkenaan.  
  
Beliau menambah, program yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini akan tetap diteruskan meskipun penganjur terpaksa menukar lokasi pada saat-saat akhir susulan keputusan MDKS. 
 
"Kita akur dengan keputusan Majlis Daerah Kuala Selangor. Kita pindahkan ke lokasi lain," katanya ringkas kepada Antarapos.
 
Beliau berkata, kemungkinan lokasi program akan dipindahkan ke Shah Alam.
 
Bagaimanapun butiran lanjut mengenai lokasi itu hanya akan dimaklumkan esok (Jumaat).
 
"Sebab ada dua, tiga tempat (sedang dikenalpasti)...kerana ia libatkan mobilisasi ramai, jadi kesesuaiannya dan sebagainya kita kena kaji," katanya.
 
Antarapos terdahulu melaporkan MDKS memutuskan untuk tidak membenarkan acara anjuran PAS itu diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Ahad ini, susulan stadium berkenaan sedang dalam proses baik pulih (renovation).
 
Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Mohamad Yusli Askandar turut menegaskan, keputusan itu tiada kena mengena dengan desas desus kononnya pihak berkuasa tempatan itu menerima 'arahan' daripada pihak tertentu untuk menyekat program PAS. 


Tiada ulasan: