Selasa, 23 Januari 2018

Hadkan kedai makan 24 jam bukan jalan penyelesaian – Nazri

Shawaliah Hadir
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika mengadakan lawatan di tapak Pameran ‘Kartun & Kita’ di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI
 
KUALA LUMPUR – Mengehadkan tempoh operasi kedai makanan 24 jam untuk memastikan kualiti makanan memuaskan dilihat cadangan yang tidak sesuai.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ianya bukan sekadar sukar untuk dilaksanakan berdasarkan corak hidup rakyat Malaysia kerana kedai makanan yang beroperasi 24 jam menjadi penyumbang kepada sektor pelancongan dalam negara.

“Kurangkan masa kedai makan 24 jam memang susah. Saya faham dengan perhatian Menteri Kesihatan sebab bila buka 24 jam kualiti makanan itu sukar untuk dipenuhi.

“Pada saya itu pilihan sendiri. Ini 2018, kita tidak sepatutnya beritahu orang apa yang mereka perlu buat. Biarkan orang sendiri yang pilih dan buat keputusan

“Saya tidak rasa kita kena beritahu orang bagaimana untuk menjalankan kehidupan. Yah, ia juga menyumbang kepada pelancongan,” katanya hari ini.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan bercadang untuk menghadkan tempoh operasi kedai makanan termasuklah restoran mamak yang beroperasi selama 24 jam dalam negara.

Ianya kemudian disokong oleh Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Berbeza dengan MITA, Nazri sebaliknya berpendirian bahawa langkah yang sesuai adalah menutup kedai yang didapati tidak bertanggungjawab menghidangkan makanan yang sudah tidak boleh dimakan kepada pelanggan.

“Kalau ada kecurigaan bahawa tentang makanan, kualitinya dan ambillah tindakan jadi kedai itu boleh ditutup,” ujarnya lagi kepada pemberita selepas perasmian Pameran Kartun dan Kita, Pelancaran Kalendar Acara 2018 dan Pelancaran Buku Terbitan Jabatan Muzium Negara. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: