RAUB: Seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis bernama
'Sarjan Faiz' dijatuhi hukuman penjara 66 bulan selepas mengaku bersalah
terhadap lima pertuduhan termasuk menculik remaja perempuan pada 27
Disember tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Faizal Sinorcho, 32, dari Taman Bukit Indah, Bentong,
yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan jalan raya turut
dijatuhkan hukuman lima kali sebatan oleh Majistret Khairuddin Anhar
Mahmud.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melarikan Nur Syaminn Nabila
Mohd Shapawi, 17, di alamat Nombor 141 A, Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan,
dekat sini kira-kira jam 11 pagi, 27 Disember tahun lalu dan pendakwaan
dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Tertuduh juga didakwa berpura-pura sebagai anggota polis dikenali
'Sarjan Faiz' di lokasi serta waktu sama dengan pertuduhan pertama dan
pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau
kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki senjata api
tiruan tanpa permit di sebuah kedai motosikal di sini, kira-kira jam 12
tengah hari, 27 Disember tahun lalu yang pendakwaan dibuat mengikut
Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 dan memperuntukkan hukuman penjara
minimum satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh juga didakwa memperdayakan seorang wanita, Fatimah Sulaiman,
60, dengan menyamar sebagai Inspektor Khuzairi untuk meminta RM500 bagi
melepaskan anaknya, Azuan Ariffin, 42, daripada disiasat oleh Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan
dadah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.30 petang, 9 Disember
2016 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun,
sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berpura-pura memegang jawatan
Inspektor untuk memperdayakan Fatimah menyerahkan RM500 untuk melepaskan
Azuan daripada disiasat atas kesalahan berkaitan dadah dan pendakwaan
dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Khairuddin Anhar mengarahkan hukuman penjara selama 48 bulan bagi kes
culik remaja, menyamar sebagai polis dan memiliki senjata api tiruan
tanpa kebenaran yang dilakukan tahun lalu dijalankan serentak bermula
dari tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu.
Hukuman penjara 18 bulan dan lima kali sebatan bagi kesalahan
memperdayakan seorang wanita dan menyamar sebagai anggota polis pada
2016 pula bermula selepas tempoh penjara 48 bulan terbabit selesai.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Faizal Shamsir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan