Rabu, 17 Januari 2018

Blackout 505: Denda RM1,500 Nik Nazmi kekal

ANTARAPOS

Post Pic
 


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan denda RM1,500 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad atas kesalahan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 tanpa kebenaran, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan pendakwa raya.

Kuorum itu antara lain berpuas hati bahawa denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Disember tahun lalu adalah mencukupi.

Nik Nazmi, 35, sebelum ini pernah didakwa sebanyak dua kali atas pertuduhan serupa, menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan didengar di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan kali ketiga.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran perhimpunan Blackout 505 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nik Nazmi yang diwakili peguam Syahredzan Johan disabitkan melakukan kesalahan itu pada pukul 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum menurut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Tiada ulasan: