Ahad, 21 Januari 2018

Bicara Santai PAS tembusi 'kubu Umno' Tasek Gelugor

ZUL ISHAK


TASEK GELUGOR: PAS Kawasan Tasek Gelugor telah menembusi kubu Umno menerusi penganjuran serentak dua majlis penerangan dalam Dun Telok Air Tawar dan Dun Permatang Berangan yang diadakan semalam.
 
Program tersebut merupakan usaha berterusan PAS dalam merapatkan hubungan serta meluaskan sebaran maklumat semasa parti kepada masyarakat setempat.
 
Di Dun Telok Air Tawar telah dilangsungkan Bicara Santai menampilkan pimpinan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dalam program di Bagan Tambang, di sini.
 
Panelis terdiri dari Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato' Ir A Rashid dan Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohammad Hanif Haron.
 
Mereka membicarakan kesediaan PAS Pulau Pinang berhadapan sama ada BN mahupun PH pada PRU14 nanti serta bertekad memastikan kemenangan ke arah merealisasikan gagasan kesejahteraan.
 
Manakala di Dun Permatang Berangan, program Bicara Santai itu menampilkan Bendahari PAS Kedah, Muhammad Sobri Othman selaku panelis yang mengutarakan pelbagai isu ekonomi negara.
 
Beliau mengemukakan masalah beban perbelanjaan hidup rakyat dari kenaikan harga barang yang antaranya berpunca dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Jelasnya, cukai tersebut juga menyebabkan golongan miskin bandar dan miskin luar bandar semakin terbeban dan PAS menawarkan penyelesaian realistik menerusi Dokumen Hijau. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: