Sabtu, 20 Januari 2018

Bekas pengasas PPBM dakwa Muhyiddin bantah Dr M jadi PM

 
Kamarulazman Habibur Rahman berkata, matlamat asal penubuhan PPBM ialah melantik Dr Mahathir sebagai penasihat parti itu, tetapi beliau kemudiannya 'hijack' PPBM dan PH bagi jawatan perdana menteri.


Kamarulazman-Habibur-Rahman-Muhyiddin-Yassin

KUALA LUMPUR: Salah seorang bekas pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju dengan Pakatan Harapan (PH) memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka.

Beliau berkata, matlamat asal penubuhan PPBM hanya mahu melantik Dr Mahathir sebagai penasihat parti itu, tetapi beliau kemudiannya “hijack” PPBM dan PH bagi jawatan perdana menteri.

“Masa awal penubuhan PPBM, Muhyiddin tak setuju Tun Mahathir jadi calon perdana menteri. Dia panggil Tun sebab sebagai penasihat parti, tun sebagai bekas perdana menteri dan kehadiran Tun sebagai bonus kepada parti sabagai pengatur.

“Tak pernah ada idea nak lantik Tun sebagai perdana menteri. Muhyidin tak mahu tun dalam parti kerana ada Tun dalam parti penghalangnya idea untuk ketengahkan imej banyak kali, sehinggakan Tun dapat hidu idea halangan yang cuba dibuat Muhyiddin, lalu timbul pergeseran antara pegawai Tun dan Muhyiddin.

“Sekarang tun telah hijack parti malah Pakatan Harapan sendiri untuk jawatan perdana menteri,” katanya selepas menghadiri Empirical Talk bersama bekas ahli PPBM, Anina Saadudin hari ini.

Kamarulazman turut menuduh Muhyiddin bercita-cita menjadi perdana menteri.

“Muhyiddin mungkin melihat dirinya sebagai calon perdana menteri, ketika itu beliau merupakan bekas timbalan perdana menteri. Kalau dikira dari sudut pengalaman, maka dialah yang paling sesuai.

“Mungkin dia (Muhyiddin) saya rasa semua orang pernah berada di kedudukan numbor dua akan bercita-cita untuk menjadi numbor satu, jadi ketika itu Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM nampak beliaulah yang layak.

“Bagaimanapun Tun mungkin mempunyai idea lain, apabila dia melihat Muhyiddin bukan orangnya dan mencari orang lain. Kalau dia tak jumpa orang lain, mungkin dia sendiri yang sepatutnya. Tapi pada usia 93 tahun, adakah rakyat Malaysia ingin memperjudikan nasib rakyat hanya kerana nostalgia bekas seorang pemimpin nombor satu negara ini?”

Pada 7 Januari lalu, PH mengumumkan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya, jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan: