Ahad, 21 Januari 2018

Bantu kanak-kanak tiada dokumentasi dapat pendidikan

Mohd Zaini Samsu Hadi
Menteri Kewangan 2 merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap ketika merasmikan Seminar Kesedaran Kesihatan Seksual & Reproduksi Anak-Anak : Apa Peranan Kita di Dewan Bestari, Sek. Men. Keb. Aminuddin Baki, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
 
KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk NGO perlu memainkan peranan dan tanggungjawab membantu kerajaan menyelesaikan masalah kanak-kanak yang tidak diberi pendidikan ekoran ketiadaan dokumentasi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu penting kerana ia akan memberi impak semula kepada masyarakat sekiranya kanak-kanak itu tiada pendidikan yang sempurna.

“Bila anak-anak tiada dokumentasi mereka susah untuk nak masuk sekolah dan nak bagi pendidikan pun tak boleh, jadi perkara ini kita sedang carikan jalan penyelesaian.

“Kalau mereka ini membesar tanpa ada pendidikan ia akan memberi kesan semula kepada masyarakat seperti berlakunya masalah sosial dan sebagainya.

“Kalau mereka terlibat dengan jenayah-jenayah masyarakat juga yang akan menerima kesannya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kesedaran Kesihatan Seksual dan Reproduksi Anak-Anak:Apa Peranan Kita? di sini hari ini.

Program yang diadakan itu bertujuan membuat kajian terhadap ibu bapa berhubung pengetahuan dan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif kepada anak-anak.

Mengulas lanjut Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, dalam mendepani masalah itu peranan terpenting yang perlu dimainkan adalah menerusi  masyarakat itu sendiri.

Katanya, sebagai contoh isu gelandangan yang ramai di ibu kota memerlukan perhatian daripada masyarakat agar impak dalam menangani masalah sosial yang dilakukan oleh mereka akan lebih berkesan.

“Kerajaan akan membantu dan selagi pertolongan boleh diberi dalam menyelesaikan masalah ini termasuk keperluan infrustruktur dan sebagainya kita akan lakukan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: